Ucapan Zamihan jelek tapi jangan guna Akta Hasutan, kata aktivis

Ucapan Zamihan jelek tapi jangan guna Akta Hasutan, kata aktivis

Ia selepas polis mengumumkan penceramah itu akan disiasat di bawah Akta Hasutan selepas ucapan mengkritik Sultan Johor dan menghina bukan Islam.

Gerakan-Hapus-Akta-Hasutan
PETALING JAYA: Sekumpulan aktivis yang menentang penggunaan Akta Hasutan hari ini menggesa pihak berkuasa tidak mengambil tindakan terhadap seorang penceramah agama di bawah undang-undang tersebut, walaupun mengakui kandungan ucapannya bersifat “jelek”.

Gerakan Hapus Akta Hasutan (GHAH) berkata akta tersebut tidak sepatutnya diguna pakai kerana terdapat pelbagai undang-undang lain menghukum Zamihan Mat Zin, presiden Pertubuhan Ahli Sunnah Wal Jamaah (Aswaja), yang menyifatkan orang bukan Islam sebagai “tidak bersih” di samping mengkritik Sultan Johor.

“GHAH mengutuk kenyataan presiden Aswaja tersebut, dan menganggap kenyataan tersebut bersifat jelek, namun GHAH secara tegas menentang penggunaan Akta Hasutan 1948 terhadap beliau, atau mana-mana individu yang menyatakan pendapat,” kata jurucakap GHAH, Amir Abd Hadi.

Amir menyifatkan Akta Hasutan sebagai “lapuk, regresif dan memalukan”.

Beliau mengulas kenyataan Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun hari ini, yang berkata Zamihan disiasat di bawah Akta Hasutan.

Zamihan dalam rakaman ceramahnya di sebuah masjid di Shah Alam mempersoalkan pendirian Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar membidas pemilik sebuah kedai dobi kerana melarang pelanggan bukan Islam menggunakan kemudahan di situ atas alasan “kesucian”.

Zamihan yang menyokong kedai dobi khas untuk umat Islam berkata pandangan Sultan Ibrahim itu “tidak patut”, sambil menyifatkan orang bukan Islam kotor sehinggakan pakaian mereka tidak boleh dicampur aduk dengan pakaian orang Islam.

“Cina biasa kencing berak tak basuh. Bagaimana tentang darah haid mereka, pada pakaian dalam mereka, peluk dakap anjing, minum arak, tumpah arak, makan babi, sup babi. Itu semua sinonim dengan mereka,” kata Zamihan ketika berceramah di Masjid Diraja Tengku Ampuan Jemaah, Bukit Jelutong, Shah Alam, hujung minggu lalu.

Fuzi semalam berkata pihaknya sudah menerima satu laporan polis terhadap Zamihan.

Zamihan pagi tadi menyerang beberapa media yang melaporkan isi kandungan ceramahnya, tetapi memohon maaf kepada Sultan Johor.

“Saya sedia untuk disiasat atas falsafah berani kerana benar dan takut kerana Allah,” katanya yang kini ditugaskan mengendalikan program Jabatan Penjara di bawah Kementerian Dalam Negeri.

Zamihan dipindahkan ke Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) tahun lalu, dan kerap menyerang beberapa mufti yang tidak sealiran dengannya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.