‘AS$100,000 milik Jong Nam disimpan dalam peti besi balai polis’

‘AS$100,000 milik Jong Nam disimpan dalam peti besi balai polis’

Saksi ke-9 kes pembunuhan Kim Jong Nam, ASP Wan Azirul Nizam Che Wan Aziz berkata, barang peribadi lain milik warga Korea Utara itu sudah dihantar ke Pyongyang.

kim-jong-nam_law_600_new
SHAH ALAM: Wang tunai AS$100,000 (RM421,452) yang ditemui dalam beg Kim Jong Nam masih disimpan dalam peti besi di pejabat ketua polis daerah Sepang, kata ASP Wan Azirul Nizam Che Wan Aziz.

“Ada dalam simpanan polis. Maksud saya, wang tersebut dalam simpanan peti besi ketua polis daerah Sepang,” kata saksi ke-9 kes pembunuhan Jong Nam di Mahkamah Tinggi Shah Alam, hari ini.

Pegawai penyiasat kanan Jabatan Siasatan Jenayah di Ibu Pejabat Polis Daerah Sepang itu berkata, barang peribadi lain milik anak sulung bekas diktator Korea Utara itu pula sudah dihantar ke Pyongyang.

“Barangan itu diserahkan kepada Jabatan Kimia Malaysia. Selepas itu pula, ia diserahkan kepada Kedutaan Besar Korea Utara.

“Saya tidak tahu sebab apa ia (barangan peribadi milik Jong Nam) dihantar ke Korea Utara. Saya hanya mengikut arahan ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor.”

Azirul berkata, rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan Jong Nam mengalami masalah fizikal selepas beliau diserang.

“Dalam rakaman di depan Klinik Menara, (Jong Nam) masih berjalan terhincut-hincut sebelum dilihat memasuki klinik. Si mati kemudian dilihat berada di kaunter (dalam klinik).

“Selepas berada di kaunter, ada ramai petugas memberi rawatan kecemasan kepada si mati. Si mati dibaringkan di atas stretcher (pengusung).

“Petugas itu dipercayai paramedik. Bantuan pernafasan turut diberikan,” katanya di depan Hakim Datuk Azmi Ariffin.

Terdahulu, satu rakaman CCTV ditunjukkan kepada mahkamah, di mana Jong Nam berjalan ke zon hijau di aras 3 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) dengan memakai blazer biru muda, berseluar jeans dan menggalas beg, sebelum didatangi 2 wanita.

Sementara itu, pakar senjata kimia, Dr Raja Subramanimam berkata, beliau mendapat arahan daripada pegawai penyiasat untuk melepaskan barangan peribadi Jong Nam.

“Saya dapat arahan dari pegawai penyiasat (Azirul) kata beberapa barang setelah sampel diambil, akan dihantar semula ke Korea Utara.”

Katanya, antara barang peribadi itu adalah kasut, seluar jeans, blazer, gelang, beg, dompet, rantai, cincin dan jam tangan mangsa.

Hakim membenarkan perbicaraan hari ini ditamatkan lebih awal, iaitu jam 3.20 petang selepas Azirul mengadu sakit perut. Perbicaraan akan disambung semula 9 pagi esok.

“Saya harap perkara ini tidak lagi berulang memandangkan ia akan melambatkan proses perbicaraan mahkamah. Namun, saya akui ada perkara yang tidak dapat dielakkan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.