
Pegawai Penyiasat Kanan Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sepang, ASP Wan Azirul Nizam Che Wan Aziz berkata, Doan didapati melakukan aksi itu di lokasi sama iaitu Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2).
“Kejadian berlaku di zon hijau tingkat 3 di klia2. Saya dapati dia lakukan sesuatu terhadap orang awam secara rawak. Saya dapati dia menghampiri orang awam dari arah belakang, kemudian menyapu sesuatu ke arah muka secara lembut.
“Apabila orang awam tersebut menoleh pada Doan, dia kelihatan meminta maaf dengan menundukkan sedikit kepalanya dan kelihatan meminta maaf terhadap orang awam tersebut.
“Selepas dari itu, Doan mengambil 2 atau 3 langkah ke belakang sebelum beredar dari lokasi dengan perlahan,” katanya sewaktu memberi keterangan di Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini.
Wan Azirul dipanggil ke mahkamah untuk menerangkan mengenai rakaman kamera litar tertutup (CCTV) sewaktu kejadian sebelum dan selepas pembunuhan berlaku.
Wan Azirul yang juga saksi ke-9 berkata berdasarkan pemerhatiannya, keadaan berbeza berlaku pada 13 Februari, ketika Doan melakukan aksi menyapu cecair ke arah muka Jong Nam.
“Tindakannya ketika itu kelihatan agak kasar pada pengamatan saya. Perbezaan lain yang saya dapati adalah Doan beredar dari lokasi dengan cepat dan seolah-olah melakukannya secara tergesa-gesa,” katanya.
Peguam Doan, Hisham Teh Poh Teik ketika ditemui, bagaimanapun mempertahankan anak guamnya dan menyifatkan wanita warga Vietnam itu tidak mengetahui cecair yang dipegangnya ialah agen saraf VX.
Hisham berkata, pihaknya masih mampu menimbulkan keraguan bahawa Doan tidak tahu cecair dipegangnya ialah agen saraf VX, serta tidak berniat melakukan pembunuhan.
“Apa yang Doan tahu, ia hanyalah cecair yang berminyak sahaja dan tidak tahu ia merupakan senjata kimia yang sangat berbahaya.
“Jika Doan tahu ia merupakan cecair berbahaya, mengapa dia masih memakai baju sama sehari selepas kes pembunuhan itu berlaku dan kembali semula ke klia2,” katanya.
Sebelum ini, pakar senjata kimia Dr Raja Subramaniam mengesahkan baju LOL yang dipakai Doan tercemar dengan agen saraf VX terutamanya di bahagian lengan baju bahkan turut ditemui di cebisan kuku.
Siti Aishah dan Doan sebelum ini mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan, memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.
Mereka dituduh di Mahkamah Majistret Sepang atas pembunuhan Jong Nam yang ketika itu sedang bersiap sedia menaiki pesawat ke Macau pada 9.00 pagi, 13 Februari.
Kematian Jong-nam itu disusuli krisis diplomatik antara Malaysia dan Korea Utara, yang menafikan tuduhan pembabitan rejim Pyongyang.