Peniaga Low Yat: Jualan kami lebih baik daripada Mara Digital Mall

Peniaga Low Yat: Jualan kami lebih baik daripada Mara Digital Mall

Peniaga di Plaza Low Yat berkata, jualan mereka lebih baik daripada Mara Digital Mall, tetapi perniagaan keseluruhannya merosot disebabkan beberapa faktor seperti GST, ekonomi lembap dan saingan peniaga dalam talian.

lowyat
KUALA LUMPUR: Beberapa peniaga di Plaza Low Yat menafikan dakwaan jualan mereka lebih teruk daripada Mara Digital Mall, walaupun perniagaan kebelakangan ini tidak berkembang seperti diharapkan.

Mereka berkata, jualan agak perlahan akibat keadaan ekonomi di Malaysia, walaupun pusat itu kelihatan sibuk dengan aktiviti.

Seorang pengendali kedai berusia 21 tahun yang hanya mahu dikenali sebagai Feng berkata, jumlah pengunjung hari ini kurang berbanding dahulu.

Beliau berkata, jualannya merosot 60% dan kedai lain mungkin juga terkesan.

“Ia kerana keadaan pasaran. Kebelakangan ini, saya mendapat kurang daripada 5 pelanggan sehari. Sebelum ini, saya mempunyai sekurang-kurangnya 10 pelanggan sehari,” katanya kepada FMT.

Seorang lagi peniaga yang mahu dikenali sebagai Seng berkata, beliau mendapat tahu peniaga di Mara Digital Mall juga menghadapi keadaan sama.

“Saya dengar seorang rakan yang bekerja di situ kata, apabila pelanggan mengadu tentang masalah produk, mereka akan hantar ke Low Yat untuk dibaiki,” kata pemuda berusia 22 tahun itu yang bekerja di Plaza Low Yat sejak 3 tahun lalu.

Katanya, salah satu masalah dihadapi peniaga tempatan adalah peningkatan warga asing, kebanyakannya dari Bangladesh, Pakistan dan India yang menjadi pesaing.

“Sebelum ini, pesaing kami kebanyakannya rakyat Malaysia. Kami tidak tahu bagaimana warga asing dapat lesen perniagaan. Mungkin ada ‘lubang’,” katanya.

Peniaga berusia 31 tahun, Shinji See berkata, ada beberapa rakannya yang membuka kedai di Mara Digital Mall selepas pelancarannya pada Disember 2015, tetapi mereka menamatkan operasi di sana kerana keuntungan tidak baik dan kembali ke Low Yat.

Katanya, perniagaan merudum selepas pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) sebanyak 6% pada April 2015.

“Ia teruk tetapi tidak seteruk seperti dikatakan orang luar. Kami masih mampu bertahan,” katanya kepada FMT.

Penyewa lebih 5 tahun di Plaza Low Yat, Jack Tan mendakwa sesetengah peniaga Mara Digital Mall mendapatkan bekalan daripada pembekal di Low Yat.

Beliau berkata, cabaran besar buat peniaga produk elektronik adalah perniagaan atas talian.

“Ramai orang muda lebih gemar membeli atas talian kerana sesetengah barang lebih murah berbanding apa yang kami jual di sini.

“Perniagaan atas talian tiada komitmen dan tidak perlu bayar sewa, jadi mereka mampu menjual pada harga lebih rendah.”

Isnin lalu, seorang peniaga di Mara Digital Mall dilaporkan berkata, peniaga di Plaza Low Yat yang sebenarnya semakin kehilangan pelanggan kerana pengguna lebih suka harga dan kualiti yang ditawarkan di Mara Digital Mall, di mana beliau mendakwa perniagaan di sana setanding atau lebih baik daripada Plaza Low Yat.

Beliau berkata, pengunjung banyak mengadu barangan dijual di Low Yat sama ada tidak asli atau barangan lama yang diperbaharui semula.

Bulan lalu, FMT melaporkan sesetengah peniaga yang mengalami kerugian membantah kenaikan sewa di Mara Digital Mall.

Mara Digital Mall yang khusus untuk peniaga Bumiputera dilancarkan pada 8 Disember 2015 di Bangunan Mara, dekat Pusat Beli-belah Sogo di Jalan Tuanku Abdul Rahman, susulan pergaduhan di Plaza Low Yat pada Julai 2015, di mana seorang pemuda didakwa mencuri telefon bimbit Lenovo bernilai RM800 dari sebuah kedai.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.