Peminat biaya RM1.55 juta untuk pakar Malaysia rungkai gen durian

Peminat biaya RM1.55 juta untuk pakar Malaysia rungkai gen durian

Prof Teh Bin Tean bersama pasukannya berjaya menemui 46,000 gen dalam durian yang mungkin boleh membantu mengawal bau kuat atau mengurangkan kandungan gula dalam buah itu.

durian
PETALING JAYA:
Durian dengan kandungan gula rendah atau kurang berbau mungkin muncul di pasaran susulan kejayaan sepasukan pakar onkologi Malaysia merungkai gen raja buah itu.

Timbalan Pengarah Penyelidikan di Pusat Kanser Kebangsaan Singapura (NCCS), Prof Teh Bin Tean yang berasal dari Pulau Pinang bersama pasukannya berjaya menemui 46,000 gen dalam durian yang mungkin boleh membantu mengawal bau kuat atau mengurangkan kandungan gula dalam buah itu.

Hasil penyelidikan selama 3 tahun yang dijalankan pasukan 5 saintis itu diumumkan secara dalam talian menerusi jurnal terkenal, Nature Genetics, malam tadi.

Teh ketika dihubungi Sin Chew Daily semalam berkata, beliau menjalankan penyelidikan itu berdasarkan sifat ingin tahu dan minatnya terhadap durian.

Katanya, gen durian itu boleh memudahkan pakar tumbuh-tumbuhan mempelbagaikan spesis durian dengan kandungan gula lebih rendah dan kurang berbau untuk dimakan pesakit diabetes serta warga asing dari Barat.

Beliau dipetik akhbar Singapura, The Straits Times berkata, penyelidikan ke atas Musang King itu tidak membabitkan dana kajian NCCS, sebaliknya keseluruhan proses yang menelan belanja S$500,000 (RM1.55 juta) itu dibiayai peminat durian.

“Semasa melawat NCCS, Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong mendapat tahu saya sedang menjalankan kajian ke atas gen durian dan beliau juga ingin tahu mengenai sumber kewangan saya.

“Ini amat penting kerana menggunakan dana penyelidikan sains untuk menjalankan kajian lain menyalahi undang-undang, jadi saya perlu memberi penjelasan secara terperinci.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.