
Rashaad Ali, pengkaji politik di Pusat Pengajian Antarabangsa S Rajaratnam, Singapura, menuduh bekas perdana menteri itu menanam benih yang kini sudah membawa kepada fundamentalisme dan ekstremisme, lapor South China Morning Post (SCMP).
Rashaad berkata semasa pentadbirannya, Dr Mahathir menyelia penubuhan beberapa jabatan agama persekutuan, Jakim dan juga Biro Tata Negara (BTN) di bawah Jabatan Perdana Menteri pada 1980-an, di samping menggunakanyang agama dan kaum sebagai fokus Umno untuk menarik pengundi Melayu pada setiap pilihan raya.
Menurutnya, cuaca politik yang subur dengan keadaan itu menjadikan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sukar mengambil jalan sederhana atau menentang birokrasi agama, sekiranya mahu masa depan politiknya terjamin.
Beliau menambah yang Najib terpaksa menggunakan Islam untuk memperoleh sokongan Melayu yang jatuh, “iaitu taktik yang dulunya dicetuskan oleh Dr Mahathir semasa beliau berkuasa pada 1981 hingga 2003″.
“Kebergantungannya terhadap jalan (Islamisasi) ini nampaknya menentukan yang strategi ini kemungkinan tidak berubah dalam masa terdekat, menjadikannya sebab utama mengapa ‘Islamisasi’ pada era Najib lebih kuat daripada pemerintah sebelum ini,” kata Rashaad kepada akhbar Hong Kong itu.
“Pentadbiran Najib berulang kali menggunakan agama untuk merangsang Melayu untuk berfikir diri mereka sebagai pembela Islam di Malaysia dan memperkasakan mentaliti jumud.”
Merujuk larangan pesta arak oleh polis dan pihak berkuasa selepas ditentang beberapa kumpulan Islam, akhbar itu berkata sementara Najib dikritik hebat kerana memenuhi kehendak kumpulan tertentu, ia membangkitkan persoalan sama ada Pakatan Harapan (PH) yang diteraju Dr Mahathir juga sebenarnya dikuasai konservatif agama, walaupun dilihat umum sebagai memperjuangkan sekularisme.
Ini kerana terdapat kenyataan parti komponen PH seperti PPBM dan Amanah yang juga menyeru festival bir itu dilarang.
“Larangan festival bir itu sesuatu yang sukar untuk kedua-dua pemimpin, dengan pilihan raya umum yang semakin dekat, mereka berlawan untuk memperoleh sokongan daripada pengundi terbesar di negara iaitu penduduk Islam di luar bandar yang mengamalkan gaya hidup konservatif,” kata SCMP.
Sementara itu, seorang penganalisis di BowerGroupAsia, sebuah badan penasihat risiko politik, memberitahu SCMP, harapan pengundi bandar tidak akan diendah oleh kedua-dua parti gabungan yang sedang mencuba sedaya upaya menarik sokongan Melayu luar bandar.
“Kawasan penduduk Melayu luar bandar adalah medan pertempuran utama. Sungutan pengundi bandar adalah masalah kecil yang kedua-dua parti boleh tangani ,” kata Asrul Hadi Abdullah Sani seperti dipetik akhbar itu.