Najib kritik dasar meritokrasi, dakwa tak bantu masyarakat India

Najib kritik dasar meritokrasi, dakwa tak bantu masyarakat India

Perdana menteri berkata dasar itu tidak membantu pelajar kaum India memasuki IPTA.

najib-india-student
SERDANG:
Walaupun tidak menyebut nama Tun Dr Mahathir Mohamad, Datuk Seri Najib Razak hari ini mengkritik dasar meritokrasi yang diperkenalkan bekas perdana menteri itu semasa era pentadbirannya.

Perdana menteri itu mendakwa dasar berkenaan tidak membantu pelajar dari masyarakat India memasuki Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA).

“Kalau kita tak buat sesuatu, mungkin penyertaan (masyarakat India) di peringkat IPTA sekadar 3 atau 4% sahaja, tidak sampai 7%.

“Ini akan merugikan masyarakat India kerana kalau ada seorang anaknya yang berjaya, dia boleh tolong ahli keluarganya yang lain.

“Dia boleh tolong ibu bapanya yang tua, dia boleh tolong adik dan kakaknya kalau dia berjaya sebagai seorang yang ada kelulusan daripada universiti,” katanya semasa merasmikan Perhimpunan Agung Parti Barisan Kemajuan India Se-Malaysia (IPF) ke-25 hari ini.

Pada 2002, Dr Mahathir telah menggantikan sistem kuota kaum untuk kemasukan ke universiti awam dengan dasar meritokrasi untuk merangsang persaingan sihat di kalangan pelajar Melayu.

Najib yang juga merupakan presiden Barisan Nasional (BN) berkata beliau menyedari bidang pendidikan perlu diperlihatkan pencapaian yang lebih bagi meningkatkan pendidikan dan kemahiran masyarakat India.

Disebabkan itu, buat kali pertama pihaknya memperuntukkan 1,500 tempat dalam program matrikulasi untuk kaum India yang belum pernah dilakukan sebelum ini.

Selain itu, Najib berkata beliau juga mengarahkan tambahan lebih 700 tempat untuk diberikan kepada pelajar kaum India di peringkat IPTA baru-baru ini.

“Kerana kalau kita membiarkan dasar meritokrasi dilaksanakan sepenuhnya maka yang akan jadi mangsa adalah masyarakat India,” tegasnya.

Najib berkata, apa yang dilakukannya adalah sebagai komitmen untuk membangunkan masyarakat India supaya mereka merasai bahawa kerajaan tidak “cakap kosong”.

Dalam perkembangan lain, Najib sekali lagi menyerang struktur kepimpinan Pakatan Harapan (PH).

Katanya, tidak ada parti politik di dunia yang mempunyai 3 nakhoda dalam sebuah kapal.

“Mereka ada seorang ketua umum, mereka ada seorang presiden dan mereka ada seorang pengerusi. Sampai sekarang kita tak tahu siapa tauke besarnya dalam parti pembangkang.

“Mereka ada 3 tauke dalam satu (gabungan) parti. Macam mana parti itu boleh bergerak dalam erti kata ada 1 suara kalau ada 3 kepala dalam sebuah parti. Tentu sekali ini tak masuk akal,” katanya.

Menurut Najib, PH tidak mempunyai persefahaman antara satu sama lain dan mempunyai 1 tujuan sahaja iaitu untuk menjatuhkan kerajaan BN.

“Itu sahaja yang merupakan matlamat sama yang dikongsi bersama. Mereka mempunyai ideologi berbeza, agenda berbeza dan mereka tidak ada sejarah bekerjasama antara satu sama lain.

“Ini adalah cukup berbahaya kerana bila ada 1 gabungan yang tidak stabil maka yang akan menerima akibat yang buruk adalah negara kita dan rakyat Malaysia,” katanya.

Katanya lagi, salah satu sebab mengapa Malaysia terus berkembang sehingga ke hari ini adalah kerana mempunyai kestabilan politik.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.