Sedia melawan: Pelarian Rohingya masih sokong pemberontak Myanmar

Sedia melawan: Pelarian Rohingya masih sokong pemberontak Myanmar

Pengkritik perlu sedar Rohingya terpaksa melarikan diri pada 1978 dan 1990-an dan ketika itu tiada Arsa, kata seorang komander militan.

Rohingya-refugees

COX’S BAZAR: Panggilan waktu malam dari penggerak gerakan pemberontak kecil suatu kejutan buat pekedai Rohingya, Mohammed Rashid, 28.

“Siap sedia,” kata pesanan itu.

Beberapa jam kemudian, selepas pertemuan di satu kawasan lapang, beliau antara 150 lelaki yang menyerang post Polis Sempadan Myanmar dengan bersenjatakan pedang, letupan buatan sendiri dan beberapa pistol. Selepas pertempuran itu, 6 orang kampung yang membesar dengannya maut.

“Kita tiada latihan, tiada senjata,” kata Rashid, dari kawasan Buthidaung di negeri Rakhine, yang menyertai kumpulan itu 2 bulan sebelum kejadian.

Cerita daripada mereka seperti Rashid, yang mengambil bahagian dalam serangan Tentera Pembebasan Rohingya Arakan (Arsa) terhadap berpuluh pos kawalan polis pada 25 Ogos menggambarkan sekumpulan orang kampung yang marah dan pasrah. Mereka dijanjikan raifal tempur AK-47 tapi akhirnya melawan dengan kayu dan pisau.

Ratusan menyertai Arsa setakat Jun lalu, menurut cerita mereka, dan ahli diberi sebilah pisau dan pesanan daripada pimpinan melalui aplikasi pesanan popular, WhatsApp.

Reuters menemubual 6 militan dan ahli kumpulan itu yang berlindung di Bangladesh, serta puluhan lain dalam kalangan lebih separuh juta pelarian Rohingya yang melarikan diri ke sempadan untuk menyelamatkan diri dari serangan balas tentera Myanmar yang disifatkan PPB sebagai pembersihan etnik.

Arsa, yang muncul pada 2016, dalam keterangan media dan pesanan video ketuanya, Ata Ullah, berkata mereka memperjuangkan hak Rohingya, minoriti Islam tanpa kerakyatan yang sekian lama mengadu ditindas oleh Myanmar, yang majoriti penduduknya mengikut ajaran Buddha.

Myanmar berkata Arsa gerakan pelampau Islam yang mahu mewujudkan republik Islam di utara Rakhine.

Meskipun komuniti mereka menderita sejak serangan Ogos lalu, kebanyakan militan yang terperangkap di kem-kem daif nekad melawan dan beberapa pelarian menyokong pemberontakan itu.

Pelarian lain yang ditemui Reuters mengkritik pemberontak kerana menyebabkan mereka menderita.

Jurucakap pemimpin Myanmar Aung San Suu Kyi, Zaw Htay, berkat Arsa sudah membunuh ramai orang Islam yang bekerjasama dengan pihak berkuasa jadi “orang ramai berasa diancam dan diganasi” untuk menyokong gerakan itu. Beliau menampak perisikan Myanmar mendapati golongan ulama memainkan peranan merekrut ahli.

Arsa nafi membunuh orang awam, dan belum respon kepada permohonan untuk mendapatkan komen minggu ini.

Penganalisis berkata keganasan akan menggembleng ahli dan penyokong Arsa di kem-kem pelarian dan dalam kalangan Rohingya yang masih berada di Myanmar, kerana mereka tidak akan rugi apa-apa.

“Kegiatan militan seperti ini subur kerana komuniti merasa terdesak,” kata penganalisis Richard Horsey, yang berpangkalan di Yangon dan bekas pegawai PBB. “Mereka sedia mengambil langkah membunuh diri kerana tiada pilihan lain.”

Kumpulan Islamis antarabangsa juga cuba mengambil kesempatan daripada perasaan terdesak di kem pelarian untuk meradikalkan orang ramai, tambah Horsey.

Bulan lepas Al Qaeda menyeru sokongan kepada Rohingya.

Senjata buatan sendiri

Reuters tidak dapat mengesahkan kisah pemberontakan setiap individu, tetapi kisah mereka berkongsi satu perkara.

Seorang militan, Kamal Hussain, 35, dari sebuah kampung di Rathedaung di negeri Rakhine, berkata beliau menyertai Arsa apabila seorang guru agama di kampungnya Jun lalu, di bulan Ramadan, menggesa orang ramai melawan.

“Beliau kata kita tiada pilihan lain kecuali menyerang Myanmar kerana saudara kita dibunuh setiap hari. Saya rasa semua orang sertai gerakan itu pada hari itu,” katanya, sambil merehatkan diri di sebuah kem pelarian di Bangladesh. “Kita harus serang lagi dan lagi. Saya akan kembali melawan jika berpeluang.”

Tidak seperti seorang militan veteran, ramai ahli baharu yang menyertai gerakan itu tidak terlatih atau berhubung dengan pemimpin gerakan itu, yang berkomunikasi menggunakan WhatsApp dan membikin letupan buatan sendiri sebelum serangan.

Militan ketiga, di mana kisahnya disokong komen dari 2 orang tua dari kampungnya dalam satu temubual berbeza, berkata beliau dan kira-kira 60 lelaki dari Myin Hlut menyertai gerakan itu 3 bulan lalu.

Lelaki berusia 26 tahun itu, yang tidak mahu dinamakan kerana bimbang ditahan pihak berkuasa Bangladesh, berkata beliau antara 200 lelaki yang menyerang sebuah pos pemeriksaan polis 25 Ogos lalu.

“Kita hanya bersenjatakan pisau dan kayu, tidak ada senjata api,” katanya. “Mereka janjikan AK-47, tetapi kita tidak terma apa-apa. Bahan letupan pun tidak berfungsi. Kita ada 2 bahan letupan, tapi tak meletup selepas dibaling.”

Kira-kira 40 militan terbunuh, katanya, tetapi menambah beliau akan kembali melawan jika dipanggil.

“Saya masih menyokong Arsa,” katanya. “Saya akan pergi kalau pemimpin saya panggil.”

Menurut 2 komander kampung, ada kumpulan WhatsApp yang khusus untuk pemimpin dan untuk ahli.

Kumpulan yang lebih besar ditadbir dari luar negara dan digunakan untuk membina sokongan lebih meluas untuk Arsa dan Rohingya.

Shoket Ullah, bapa saudara kepada militan berusia 26 tahun itu, membaca mesej dalam kumpulan WhatsApp “ARSA.G1”, yang ditadbir oleh nombor telefon Arab Saudi, yang berkongsi kenyataan media Arsa, video keganasan yang didakwa dilakukan tentera Myanmar, dan pesanan sokongan kepada Rohingya.

Satu lagi kumpulan WhatsApp dalam telefon Shoket, “Rohingya Desh Arakan”, pula ditadbir oleh nombor telefon Malaysia.

Puluhan ribu Rohingya menetap di Arab Saudi dan Malaysia.

Sokongan orang kampung

Kemarahan Rohingya terhadap Myanmar sudah lama, tetapi pemberontakan bersenjata pertama sejak beberapa dekad lalu.

Di kem-kem pelarian di Bangladesh, beberapa pelarian menyuarakan sokongan kepada Arsa.

“Saya kecewa dan kesal apa yang berlaku tetapi semua ini sudah dirancang kerajaan Myanmar,” kata Shafie Rahman, 45, seorang guru kaum Bamar. Kampung dibakar selepas serangan oleh Arsa. “Kalau Arsa tak menyereang, kerajaan Myanmar akan melakukan perkara yang sama.”

Beberapa pelarian berkata orang ramai mula menjual lembu, sayur dan beras untuk mengutip dana untuk Arsa.

Namun, tidak semua orang menyokong Arsa. Apabila Kamal Hussein berkata Arsa, dijenamakan semula sebagai al-Yakin tahun ini, perlu terus melawan, jirannya pula mencelah dan membantah.

“Kita sudah kehilangan semuanya. Keganasan bukan jawapannya,” kata lelaki tua itu, dalam khemahnya yang dimasuki air berlumpur.

Tidak dapat dipastikan bagaimana militan berkumpul semula selepas ramai melarikan diri ke sempadan atau hilang.

Tiga militan yang bercakap kepada Reuters berkata mereka terkejut dengan keganasan tentera Myanmar, dan dalam masa beberapa minggu komander mereka meminta mereka meletakkan senjata dan meninggalkan kampung halaman.

Beberapa orang lagi mengatakan kumpulan WhatsApp di mana komander Arsa di lapangan dan serantau akan memuatnaik perkembangan semasa kini sudah senyap.

“Orang yang menyalahkan al-Yakin perlu sedar kaum saya terpaksa melarikan diri pada 1978 dan 1990-an dan ketika itu tiada Arsa,” kata salah seorang dari 2 komander kampung, yang membesar di Bangladesh selepas keluarganye melarikan diri dari keganasan, tetapi kembali ke Myanmar pada 1990-an.

“Kita harus terus melawan. Wanita juga boleh sertai kami.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.