
Beliau memberi respons kepada laporan FMT baru-baru ini yang memetik ibu mangsa yang mendakwa makanan dan wang disumbangkan orang ramai disimpan oleh staf tanpa mengagihkannya kepada mangsa tragedi bulan lalu yang membunuh 23 orang termasuk 21 pelajar.
Sekumpulan ibu itu berkata mereka diberitahu demikian oleh salah seorang kakitangan sekolah itu sendiri.
“Mereka salah faham,” kata kakitangan itu kepada FMT.
“Saya maksudkan, sekolah ini (Darul Quran Ittifaqiyah) sudah mempunyai wang dan makanan mencukupi. Jadi, saya beritahu mereka, lebih baik mereka beri kepada sekolah tahfiz lain.”
Bercakap kepada FMT baru-baru ini, sekumpulan ibu pelajar berkata dapur sekolah itu dipenuhi dengan barangan makanan yang tidak diagihkan kepada pelajar, dan mendakwa pihak sekolah menentukan apa dan bila makanan diberikan kepada pelajar.
“Saya tidak membawa makanan. Jadi saya ke dapur (sekolah) dengannya dan dapur itu kelihatan seperti kedai runcit,” kata salah seorang ibu.
“Tiada orang di dapur itu yang membantu. Jadi saya ambil beberapa makanan untuk anak saya. Tetapi saya lihat beliau ketakutan. Apabila ditanya apakah yang tidak kena, beliau memberitahu ‘Ustaz tidak benarkan kami mengambil apa-apa makanan.’”
Apabila seorang pekerja madrasah ditanya berkenaan dakwaan ini, beliau menafikan perkara itu.
“Itu adalah penipuan. Kami tidak menyimpan apa-apa untuk diri kami dan anak-anak itu bebas untuk mengambil apa sahaja yang kita ada,” katanya.