
Pendakwaan yang diketuai Timbalan Pendakwa Raya Rahimah Abd Majid, meminta mahkamah memberi tertuduh pelepasan tanpa pembebasan, selepas ditentukan seorang pegawai polis yang memberi keterangan minggu lepas sebenarnya menipu.
Bagaimanapun, peguam Kim, Gobind Singh Deo, mempertikaikan anak guamnya yang berumur 20 tahun patut dibebaskan selepas pegawai polis mengaku menipu di mahkamah.
“Selepas mengambil kira serahan oleh 2 pihak itu, saya dengan ini membebaskan dan melepaskan tertuduh,” kata Hakim Tuan Abu Bakar Jais lapor akhbar The Star.
Kim sebelum ini berdepan hukuman mati mandatori selepas dituduh menyeludup kanabis tahun lepas.
Polis menahannya apabila mereka menemukannya memiliki 219g bahan terlarang itu di pangsapuri di Bandar Baru Nilai, 19 Oktober tahun lepas.
Dalam penghujahannya hari ini, Gobind memberitahu mahkamah, pengakuan pegawai polis berusia 27 tahun itu membuktikan beliau seorang saksi yang tidak boleh dipercayai.
“Beliau menipu tanpa rasa malu. Hanya selepas kami mencabar dan memberitahunya kami akan memulakan prosiding penghinaan terhadapnya kerana kami mempunyai bukti beliau menipu, barulah beliau mengaku,” katanya merujuk kepada pegawai polis yang mengetuai serbuan di pangsapuri itu.
Menurut The Star, dalam prosiding mahkamah minggu lepas, pegawai itu pada awalnya memberi keterangan mengatakan Kim berseorangan di apartmen itu semasa serbuan berlaku.
Bagaimanapun, beliau kemudiannya mengaku menipu, apabila pihak pembela berkata mereka mempunyai rakaman CCTV yang menunjukkan terdapat seorang lagi individu digari pada masa itu, selepas serbuan polis dijalankan.