Malaysia perlu benarkan kepelbagaian Islam, kata wakil khas PBB

Malaysia perlu benarkan kepelbagaian Islam, kata wakil khas PBB

Karima Bennoune turut mempersoalkan kuasa kerajaan untuk mengharamkan buku.

Karima-Bennoune-1
PETALING JAYA: Wakil khas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PPB) mengenai hak kebudayaan, Karima Bennoune, menggesa pihak berkuasa Malaysia tidak melarang kepelbagaian pandangan dalam Islam, sejajar dengan sifat umat Islam sendiri yang berbeza-beza dalam banyak perkara.

“Penting untuk membenarkan kepelbagaian Islam di Malaysia berkembang daripada membenarkan pandangan sesetengah orang sebagai versi Islam yang diimport dan dipaksa ke atas semua,” katanya kepada FMT dalam wawancara baru-baru ini.

Menurutnya, hak umat Islam untuk tidak bersetuju mengenai sesuatu perkara perlu dipertahankan kerana bukan semua umat Islam mempunyai pandangan sama.

Beliau yang berasal dari Algeria berkata ahli keluarganya juga mempunyai pandangan Islam yang berbeza.

“Dan itu sememangnya wajar,” tambahnya.

Bennoune baru-baru ini membentangkan laporan hasil lawatan 11 hari di Malaysia untuk menilai usaha mempromosikan hak kebudayaan, secara khususnya, hak rakyat untuk mengamalkan budaya masing-masing tanpa diskriminasi.

Beliau dimandatkan Majlis Hak Asasi Manusia PBB untuk mengawasi, meninjau dan memberi nasihat mengenai hak kebudayaan dalam semua negara dan juga di Malaysia atas jemputan pentadbiran Putrajaya.

Bercakap kepada FMT, Bennoune turut menyeru lembaga penapisan dimansuhkan, sambil menambah kriteria yang digunakan pihak yang mempunyai seperti itu adalah subjektif.

Beliau memberi contoh tindakan kerajaan Malaysia mengharamkan buku, sambil menyebut secara khusus mengenai pengharaman buku oleh penulis Faisal Tehrani.

Enam buku karya Faisal diharamkan Kementerian Dalam Negeri.

“Akibat itu, penjual buku kini takut untuk menjual bukunya. Jadi, terdapat kesan yang menakutkan,” katanya.

“Saya rasa bukunya membincangkan apa yang penting di Malaysia hari ini dengan cabaran dihadapi negara dan rantau lain.”

Dalam laporannya, Bennoune berkata, “harmoni” tidak sepatutnya meredamkan isu yang dianggap “sensitif”. Malahan, dialog sangat diperlukan apabila isu sensitif berbangkit, tambahnya.

“Satu-satunya cara menyelesaikan isu sensitif adalah melalui perbincangan rasional, menerusi seni dan komunikasi,” katanya kepada FMT.

“Jadi, saya sangat berharap pengharaman ke atas buku Faisal ditarik semula.”

Bennoune berkata adalah penting Malaysia berwaspada dalam membenarkan ideologi fundamentalisme menyerap masuk ke dalam sistem pendidikan.

Katanya, sistem pendidikan harus sejajar dengan piawaian antarabangsa dan menggalakkan kesaksamaan.

“Itu sangat penting dalam menentang idea fundamentalisme,” katanya.

“Di mana sahaja di dunia, orang mudah termakan ideologi yang dipaksa atas mereka, sama ada ia menerusi media konvensional, media sosial atau, yang sangat penting, melalui pendidikan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.