
Pegawai kerajaan di seluruh Xinjiang mengarahkan kejiranan dan masjid etnik Uyghur, Kazakh dan Kyrgyz supaya menyerahkan barangan tersebut atau berdepan hukuman berat jika ditemui kemudian.
“Pegawai di peringkat kampung, bandar dan negeri merampas semua Al-Quran dan sejadah,” kata sumber Kazakh di wilayah Altay, Xinjiang berhampiran sempadan Kazakhstan.
Jurucakap Kongres Uyghur Sedunia, Dilxat Raxit memberitahu RFA pihaknya menerima laporan perampasan turut berlalu di wilayah Kashgar dan Hotan sejak minggu lalu.
“Kami menerima notis setiap etnik Uyghur mesti menyerahkan apa-apa barangan berkaitan agama di rumah masing-masing, termasuk Al-Quran, bahan bacaan dan apa saja yang membawa simbol agama.
“Mereka perlu menyerahkannya secara sukarela. Jika mereka tidak berbuat demikian atau dijumpai kemudian, maka akan ada hukuman berat,” katanya.
RFA melaporkan pihak berkuasa Xinjiang pada awal tahun ini merampas semua Al-Quran yang diterbitkan lebih 5 tahun lalu kerana dikatakan mengandungi “kandungan ekstremis”, di tengah-tengah kempen berterusan terhadap barangan agama “yang menyalahi undang-undang” yang dimiliki etnik Uyghur.
Al-Quran dirampas sebagai sebahagian daripada kempen “Three Illegals and One Item” di Xinjiang yang melarang bahan publisiti “tidak sah”, aktiviti keagamaan dan ajaran agama, serta barangan yang dianggap sebagai alat keganasan termasuk pisau, objek mudah terbakar, mainan kawalan jauh dan objek simbol sukan yang berkaitan dengan Islam.
Menurut RFA, China baru-baru ini mengarahkan etnik Kazakh di beberapa bahagian Xinjiang menyerahkan pasport dan kad hijau Kazakh dan dilaporkan menahan puluhan etnik Kazakh yang kembali daripada belajar di luar negara atau melawat keluarga di Kazakhstan.
Media sebelum ini melaporkan China mengamalkan diskriminasi terhadap penganut Islam bukan Han termasuk dilarang berpuasa di bulan Ramadhan.