Sasaran Filipina tawan Marawi bulan lalu gagal

Sasaran Filipina tawan Marawi bulan lalu gagal

Presiden Filipina Rodrigo Duterte, pada 19 September lepas, meramalkan pertempuran untuk menawan semula bandar itu akan tamat pada 30 September.

Romeo-Brawner-tentera-puak-maute-pulau-marawi
MANILA: Pasukan keselamatan Filipina gagal mencapai sasaran menawan semula Marawi menjelang 30 September daripada pejuang kumpulan militan Daesh yang mengepung bandar itu lebih 4 bulan lalu, kata seorang komander Tentera Darat pada Ahad, lapor agensi berita China Xinhua.

Timbalan komander pasukan gabungan tentera di Marawi Kolonel Romeo Brawner berkata pertempuran antara pihak tentera dengan kira-kira 50 anggota militan dari puak Maute berterusan sehingga Ahad kerana pejuang Daesh terbabit memberi tentangan hebat.

Presiden Filipina Rodrigo Duterte, pada 19 September lepas, meramalkan pertempuran untuk menawan semula bandar itu akan tamat pada 30 September.

Minggu lepas, Setiausaha Pertahanan Duterte, Delfin Lorenzana, turut melahirkan perasaan optimis pertempuran itu berkemungkinan besar berakhir pada Ahad.

Duterte dan Lorenzana juga berkata pasukan tentera sudah mula membersihkan beberapa bahagian bandar itu, sambil membayangkan konflik tersebut berakhir tidak lama lagi.

Bagaimanapun, Brawner berkata pihak tentera tidak dapat menyatakan bila pertempuran itu akan berakhir.

“(Pertempuran masih) berterusan. Sudah pasti ia tidak akan berakhir hari ini,” katanya.

Konflik itu telah memusnahkan banyak infrastruktur di bandar berkenaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.