8 termasuk 3 wanita ditahan kes samun jongkong emas

8 termasuk 3 wanita ditahan kes samun jongkong emas

Polis tidak menolak kemungkinan kejadian samun itu mempunyai kaitan dengan orang dalam yang bekerja di kilang memproses emas tersebut.

handcuff-goldbar-police
KEPALA BATAS: Polis menahan 8 individu termasuk 3 wanita bagi membantu siasatan kejadian sekumpulan lelaki bersenjatakan kapak dan penukul melarikan beg berisi jongkong emas dan barang kemas seberat 11 kilogram bernilai RM1.9 juta dari sebuah kilang memproses emas di Jalan Siram, 25 September lepas.

Pemangku Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Roslee Chik berkata bertindak hasil maklumat dan risikan, polis menahan 6 individu berusia lingkungan 30 dan 40 tahun itu di sekitar Cheras, Kuala Lumpur pada 29 September lepas dan selebihnya di dua kawasan di Johor keesokannya.

“Susulan penahanan mereka, polis berjaya menemui semula 2 jongkong emas bernilai lebih RM360,000 bersama seorang daripada lelaki yang kami tahan itu dan berdasarkan siasatan, cap jari lelaki berkenaan turut dikesan pada kereta yang kumpulan tersebut gunakan ketika menyamun jongkong serta barang kemas berkenaan.

“Siasatan awal juga mendapati mereka menjual sebahagian jongkong serta barang kemas itu kepada pembeli dan polis minta mereka yang membeli agar menyerah diri bagi membantu siasatan,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Barang Kes Narkotik Kontinjen Pulau Pinang hari ini.

Dalam kejadian kira-kira 9.45 pagi itu, 3 lelaki turun dari kereta jenis Perodua Bezza berwarna merah berhampiran kilang itu dan menyerang 2 lelaki membawa beg berisi emas dan barang kemas.

Dalam pada itu, Roslee berkata polis sedang mengesan beberapa lagi lelaki yang merupakan anggota kumpulan itu bagi membantu siasatan kes berkenaan dan pihaknya percaya dapat menyelesaikan kes samun tersebut dalam masa terdekat.

Polis percaya suspek terlibat dalam kejadian itu masih berada dalam negara bersama jongkong serta barang kemas yang disamun mereka, katanya.

Beliau berkata polis juga mendapat beberapa petunjuk baharu yang dipercayai dapat membantu siasatan kes berkenaan dan tidak menolak kemungkinan kejadian samun itu mempunyai kaitan dengan orang dalam yang bekerja di kilang memproses emas tersebut.

Katanya 3 wanita yang ditahan adalah isteri kepada lelaki-lelaki yang ditangkap dan setakat ini tiada orang dalam yang ditahan, namun polis tidak tolak kemungkinan mereka akan ditahan untuk siasatan.

Beliau berkata 5 lelaki yang ditahan itu mempunyai pelbagai rekod lampau jenayah berkaitan samun dan curi bersama 3 wanita tersebut, dan mereka kini direman sehingga 5 Oktober ini untuk membantu siasatan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.