Selepas Johor, 4 pengikut Syiah ditahan di Kedah

Selepas Johor, 4 pengikut Syiah ditahan di Kedah

Beberapa kitab larangan, baju berwarna hitam tertera 'Al-Mahdi is here', akuan berkanun dan batu karbala untuk meletakkan dahi ketika sujud dalam solat turut dirampas pihak berkuasa.

syiah
JITRA:
Empat lelaki, termasuk 2 beradik dipercayai pengikut ajaran Syiah ditahan di sebuah premis rumah kedai di sini petang semalam, kata Pengarah Jabatan Hal Ehwal Islam Agama Negeri Kedah (Jheaik) Datuk Abdul Rahman Ismail.

Beliau berkata, semua lelaki berusia 22 hingga 40 tahun itu ditahan sepasukan anggota jabatan berkenaan yang melakukan serbuan di premis itu pada 6.25 petang.

“Hasil pemeriksaan menemui beberapa barang disyaki mengandungi ajaran Syiah yang melanggar fatwa negeri mengikut Seksyen 9 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Negeri Kedah 2014,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Katanya, antara barang yang dirampas ialah beberapa kitab larangan, baju berwarna hitam tertera “Al-Mahdi is here”, akuan berkanun dan batu karbala yang biasanya digunakan pengikut Syiah untuk tempat meletakkan dahi ketika sujud dalam solat.

Beliau berkata, semua suspek dan barang rampasan itu dibawa ke pejabat Jheaik untuk siasatan lanjut.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.