Umno mahu Azmin haramkan program arak

Umno mahu Azmin haramkan program arak

Ketua penerangan badan perhubungan Umno Selangor berkata sebagai pemimpin beragama Islam, Azmin tidak sepatutnya berdolak-dalik dalam isu itu untuk kepentingan politik.

Datuk-Zein-Isma-Ismail
PETALING JAYA:
Umno meminta Menteri Besar Selangor Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mengharamkan penganjuran festival makanan dan minuman yang membabitkan minuman keras di negeri itu.

Ketua Penerangan Badan Perhubungan Umno Selangor, Datuk Zein Isma Ismail berkata sebagai pemimpin negeri beragama Islam, Azmin tidak sepatutnya berdolak-dalik dalam isu itu untuk kepentingan politik.

“Kalau beliau kata jangan buat, sudah pasti semua pihak akan akur dengan keputusannya tetapi beliau sendiri tiada pendirian berhubung perkara itu.

“Saya tidak persoalkan Majlis Perbandaran Klang (MPK) kerana (menjalankan tugas). Jika ada permohonan, mereka keluarkan syarat dan semua maklum pihak berkuasa tempatan bernaung di bawah kerajaan negeri,” katanya memetik laporan Berita Harian.

Beliau juga berkata jika Azmin tidak berusaha menghalangnya, ini bermakna menteri besar itu terbabit dalam penganjuran tersebut.

Semalam dilaporkan penganjur Festival F&B Jerman Centro Mall belum memohon permit polis, kata Ketua Polis Klang Utara ACP Mazelan Paijan.

“Sebaik sahaja polis terima permohonan permit, kami akan mendapatkan nasihat daripada ibu pejabat polis Selangor dan Cawangan Khas Bukit Aman sebelum membuat keputusan,” katanya.

Terdahulu, Sin Chew Daily melaporkan MPK memberi kebenaran untuk festival tersebut tetapi melarang penggunaan perkataan “Oktoberfest” dan penyertaan orang Islam.

Lampu hijau itu diberi kerana festival itu merupakan acara persendirian yang diiadakan di tempat persendirian.

Festival F&B Jerman Centro Mall dirancang diadakan pada 12 & 13 Oktober dari 5.00pm hingga 11pm.

Difahamkan pusat beli belah itu pernah menganjurkan acara seperti itu pada tahun-tahun sebelum ini tanpa sebarang masalah.

Nasib festival F&B Jerman di Klang belum pasti

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.