Mahkamah Jenayah Seksual Kanak-kanak diperluas ke 12 negeri

Mahkamah Jenayah Seksual Kanak-kanak diperluas ke 12 negeri

Azalina Othman berkata cadangan memperluaskan Mahkamah Jenayah Seksual Terhadap Kanak-Kanak ke negeri lain adalah kerana banyak kes didaftarkan di mahkamah khas pertama di Putrajaya berjaya diselesaikan dengan cepat.

Azalina-chil
SHAH ALAM: Penubuhan Mahkamah Jenayah Seksual Terhadap Kanak-kanak akan diperluas ke 12 negeri secara berperingkat, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Azalina Othman Said.

Beliau berkata fasa pertama penubuhan mahkamah khas itu membabitkan Sarawak, Selangor dan Johor, dijangka dilaksanakan selewatnya hujung tahun ini.

“Semalam saya bentangkan memorandum memperluaskan penubuhan mahkamah khas ini di seluruh negeri dan Kabinet bersetuju mahkamah ini diwujudkan dalam 4 fasa, dengan fasa pertama di 3 negeri ini mencatat kadar kes jenayah seksual terhadap kanak-kanak yang tinggi.

“Kita berharap kewujudan mahkamah khas ini akan dapat selesaikan kes jenayah seksual kanak-kanak dalam tempoh setahun seperti diarahkan ketua hakim negara dan memberi mesej bahawa kerajaan tidak akan melambat-lambatkan pendakwaan di negeri-negeri berkenaan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Jenayah Seksual Kanak-kanak Negeri Selangor 2017 anjuran Badan Amal dan Kasih Negeri Selangor (Kasih) hari ini, yang turut dihadiri Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Tan Sri Noh Omar.

Azalina berkata fasa kedua penubuhan mahkamah khas itu akan dilaksanakan di Kedah dan Perlis (disekalikan), Kelantan dan Pahang, fasa ketiga di Pulau Pinang, Negeri Sembilan dan Melaka sementara fasa keempat di Sabah, Perak dan Terengganu.

Mengulas lanjut, beliau berkata cadangan memperluaskan Mahkamah Jenayah Seksual Terhadap Kanak-Kanak ke negeri lain berikutan banyak kes didaftarkan di mahkamah khas pertama di Putrajaya berjaya diselesaikan dengan cepat.

“Bagi kes di (mahkamah khas) Putrajaya, terdapat 303 kes didaftarkan sejak tiga bulan mahkamah ini diwujudkan dan daripada jumlah itu, 255 kes atau 84 peratus diselesaikan. Ini membuktikan mahkamah mencapai objektif dan menyelesaikan kes secara efisien dalam tempoh kurang 12 bulan.

“Mahkamah di negeri ini akan dilengkapi fasiliti sama seperti di Putrajaya seperti Court Recording Transcription (CRT) dan Sistem Audio Visual. Kita juga berharap Yayasan Permata turut membiayai bilik saksi dan bilik menunggu saksi kanak-kanak di negeri-negeri ini seperti dilakukan di Putrajaya,” katanya.

Bagi memastikan mahkamah khas di 12 negeri ini beroperasi dengan efektif, beliau berkata latihan pengkhususan kepada pegawai kehakiman dan perundangan yang mengendalikan kes jenayah seksual kanak juga akan dilaksanakan.

Azalina berkata pihaknya juga akan mengadakan mesyuarat prosedur operasi standard (SOP) dengan pihak mahkamah esok bagi membincangkan keperluan mewujudkan pembukuan khas bagi pensaksian yang membabitkan kanak-kanak.

“Bila ada pensaksian kanak-kanak harus ada ‘apa yang boleh dan tidak boleh’. Saya akan rujuk semula kepada Akta Keterangan Kanak-Kanak 2007 dan kita akan kaji semula sama ada nak buat pindaan termasuk yang membabitkan keterangan kanak-kanak dalam bentuk rakaman, kita perlu kaji pemeriksaan balas dan sebagainya.

“Saya harap kalau kajian itu boleh bawa ke Kabinet, mungkin ketika persidangan dewan (Dewan Rakyat) bulan Oktober ini saya boleh bawa cadangan untuk pindaan (Akta Keterangan Kanak-Kanak),” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.