Laporan: 2 suspek ke stesen minyak 3 jam sebelum kebakaran tahfiz

Laporan: 2 suspek ke stesen minyak 3 jam sebelum kebakaran tahfiz

Pekerja di kaunter stesen minyak itu tidak nampak 2 suspek mengeluarkan botol untuk mengisi petrol, sebaliknya mereka mengisi minyak ke dalam motosikal selepas membuat bayaran di kaunter.

tahfiz
PETALING JAYA: Dua daripada 7 suspek kes membakar Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah di Kampung Keramat Ujung, Khamis lalu, pernah ke stesen minyak berhampiran lokasi kejadian 3 jam sebelum kebakaran berlaku untuk mengisi petrol.

China Press memetik John yang merupakan pekerja di kaunter stesen minyak itu berkata, 2 suspek yang menaiki motosikal itu, mengisi petrol pada jam 2.20 pagi Khamis lalu.

Lelaki berusia 21 tahun itu berkata, hanya beliau seorang bertugas di stesen minyak ketika itu.

Katanya, beliau tidak nampak 2 suspek itu mengeluarkan botol untuk mengisi petrol, sebaliknya mereka mengisi minyak ke dalam motosikal selepas membuat bayaran di kaunter.

Katanya, beliau mengecam 2 suspek itu selepas gambar mereka tersebar di media sosial.

Akhbar itu melaporkan beberapa suspek terbabit difahamkan turut kembali ke tempat kejadian untuk menyaksikan kebakaran.

Kelmarin, polis mengumumkan kes kebakaran sekolah tahfiz itu selesai dengan penahanan 7 suspek lelaki berusia 11 hingga 18 tahun di sekitar ibu negara.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Amar Singh Ishar Singh dilaporkan berkata, 6 suspek itu didapati positif dadah jenis ganja dan dipercayai khayal ketika memulakan kebakaran itu, manakala 2 daripadanya mempunyai rekod jenayah lampau.

Beliau berkata, polis akan menyiasat petrol yang digunakan untuk mempercepatkan kebakaran itu dan 2 tong gas yang dibawa dari tingkat bawah ke tingkat 3 sekolah tahfiz terbabit.

Seramai 21 pelajar lelaki berusia 6 hingga 17 tahun dan 2 guru berusia 25 serta 26 tahun terkorban dalam kebakaran jam 5.15 pagi, 14 September lalu.

Tujuh mangsa termasuk 6 pelajar sekolah tahfiz itu turut cedera dalam tragedi berkenaan.

 

Mercun dan futsal di sebalik tragedi sekolah tahfiz

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.