14 tahfiz di Melaka akur daftar hujung tahun ini

14 tahfiz di Melaka akur daftar hujung tahun ini

Kerajaan negeri memberikan kelulusan beroperasi sementara kepada 14 buah sekolah tahfiz selepas pemeriksaan oleh jabatan agama, bomba dan pihak berkuasa tempatan.

Yaakub-Md-Amin-tahfiz
JASIN: Kerajaan negeri melalui Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) memberikan kelulusan beroperasi sementara sehingga hujung tahun ini kepada 14 buah sekolah tahfiz di negeri ini yang masih belum berdaftar, kata Timbalan Pengerusi MAIM Datuk Yaakub Md Amin.

Beliau berkata kebenaran beroperasi sementara itu diberikan selepas pemeriksaan dilakukan bersama bomba serta pihak berkuasa tempatan (PBT) di pusat berkenaan.

Pihak MAIM sudah menemui pihak pengurusan 14 buah sekolah tahfiz berkenaan dan mereka bersetuju mendaftar secara rasmi di bawah Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM), katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Simposium Kebangsaan Mengenai Halal Dalam Industri Pelancongan dan Hospitaliti 2017 (NaSThalal2017) di Dewan Platinum, Politeknik Merlimau hari ini.

Beliau berkata pemantauan terhadap sekolah tahfiz berkenaan akan diteruskan kerana masih tidak memenuhi beberapa syarat lain yang ditetapkan.

“Sebagai langkah awal, semua sekolah tahfiz sedia ada ini kita arahkan mereka mesti mempunyai pili air bomba dan memastikan terdapat pintu belakang sebagai laluan selamat jika berlaku sebarang kejadian tidak diingini.

“Memang agak sukar mengarahkan mana-mana sekolah tahfiz membina bangunan baharu yang lengkap dan memenuhi syarat kerana kekangan kewangan namun penambahbaikan terhadap aspek keselamatan ini perlu,” katanya.

Menurut beliau, sebanyak 11 daripada keseluruhan 53 sekolah tahfiz di Melaka kini juga dalam proses mendaftar dan mendapatkan kebenaran dari kerajaan negeri bagi meneruskan operasi pembelajaran dan pengajian.

“Dianggarkan seramai 1,800 pelajar menuntut di sekolah tahfiz di seluruh negeri Melaka dan kita mahukan mereka menjalankan operasi secara sah dan berdaftar secepat mungkin,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.