‘Tahniah’ Umno, Mat Taib lompat balik, kata Dr M

‘Tahniah’ Umno, Mat Taib lompat balik, kata Dr M

Pengerusi Pakatan Harapan itu turut menyindir Umno pasti akan kalah pada PRU akan datang dengan adanya lebih ramai individu seperti Mat Taib menyertai parti itu.

mahathir-mat-taib2
PETALING JAYA: Pengerusi Pakatan Harapan, Tun Dr Mahathir Mohamad mengucapkan “tahniah” kepada Umno, susulan tindakan Tan Sri Muhammad Muhd Taib pulang ke pangkuan parti itu.

“Saya amat gembira kerana Tan Sri Mat Taib lompat balik ke Umno.

“Dia seperti katak. Lompat dari Umno ke PAS ke PKR dan menyatakan sokongan terhadap saya dalam parti PPBM. Sekarang dia masuk balik bawah tempurung.

“Tahniah kepada Umno. Lagi banyak orang macam Mat Taib, jamin Umno kalah PRU (pilihan raya umum),” sindir bekas perdana menteri itu dalam sebuah rakaman video yang diberikan kepada FMT hari ini.

Muhammad yang lebih dikenali sebagai Mat Taib pernah dilantik sebagai menteri kemajuan luar bandar dan wilayah pada 2009 serta menteri besar Selangor dari 1986 hingga 1997.

Muhammad bersama Umno dan BN sejak 1964, sebelum menyertai PAS pada April 2013 dan melompat ke PKR pada September 2015 dengan harapan supaya sebuah kerajaan alternatif dapat ditubuhkan.

Dr Mahathir berkata, orang seperti Mat Taib tidak boleh dipercayai kerana beliau terpaksa melepaskan jawatan menteri besar Selangor pada April 1997 selepas didakwa di Australia atas pertuduhan membuat pengisytiharan palsu berjumlah RM3.8 juta.

Muhammad bagaimanapun dibebaskan mahkamah selepas memberi alasan tidak tahu berbahasa Inggeris dan tidak memahami peraturan mengenai mata wang.

Bagaimanapun, sebuah jawatankuasa siasatan kemudiannya mendapati mahkamah berkenaan terkhilaf dalam membuat keputusan itu.

“Saya tahu dia boleh berbahasa Inggeris dan duit itu entahlah datang dari mana. Orang macam ini tak boleh percaya sangat.”

Pengerusi PPBM itu juga hairan kenapa Datuk Seri Najib Razak dan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menganggap penyertaan Mat Taib dalam Umno semula sebagai peristiwa besar.

“Sehingga ada PC (sidang media) khusus untuk ni. Ini menunjukkan memang benar Najib ni melihat geng dia balik. Ini geng dialah.”

Petang tadi, Najib menerusi sidang media tergempar mengumumkan Muhammad kembali kepada Umno dengan ikhlas tanpa mengemukakan sebarang tuntutan jawatan kerana mahu berjuang bagi menjamin kemenangan Umno dan Barisan Nasional pada PRU14.

Bekas MB Selangor Muhammad Muhd Taib kembali sertai Umno

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.