Saya tak akan maafkan pihak bakar pusat tahfiz, kata ibu mangsa

Saya tak akan maafkan pihak bakar pusat tahfiz, kata ibu mangsa

Noorazlina Bakry, ibu kepada seorang pelajar Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah yang terkorban berkata, beliau mahukan keadilan untuk anaknya.

Noorazlina-Bakry-suspek
SEREMBAN: “Saya tidak akan maafkan perbuatan mereka yang membakar pusat tahfiz anak saya,” kata Noorazlina Bakry, 36, ibu kepada seorang pelajar Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah di Jalan Keramat Ujung, Kuala Lumpur yang terkorban dalam kejadian kebakaran pusat itu Khamis lepas.

“Saya tidak akan maafkan mereka. Banyak lagi perkara yang saya mahu lakukan untuk anak saya, tetapi sekarang sudah tidak sempat lagi. Saya mahukan keadilan untuk anak saya.

“Hati apa yang sanggup buat macam itu kepada pelajar-pelajar tahfiz,” katanya kepada pemberita di rumahnya di Taman Paroi Jaya di sini.

Anaknya Muhammad Fahmie Abdullah, 11, adalah antara 21 pelajar yang maut dalam kejadian itu. Dua lagi merupakan warden asrama pusat tersebut.

Pihak polis mengumumkan 7 remaja berusia antara 11 hingga 18 tahun telah ditahan bagi membantu siasatan berhubung kes kebakaran berkenaan.

Noorazlina berkata beliau tidak sanggup untuk melihat wajah-wajah yang menyebabkan anaknya terkorban.

Dalam pada itu, Nur Hayati Che Ahmad, 30, isteri naib mudir Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah yang terselamat dalam kebakaran masih trauma serta sering termenung.

Menurut suaminya, Muhammad Azhari Mahmod, 40, isterinya yang sedang hamil 2 bulan anak ke-5 mereka, turut memberitahunya yang dia masih terdengar-dengar suara anak-anak tahfiz terbabit yang menjerit kesakitan ketika kejadian.

“Ketika kejadian isteri sedang solat dan terdengar bunyi desiran gas serta terhidu bau yang tidak menyenangkan sebelum anak sulung memberitahu ternampak api di luar pintu yang menempatkan bilik asrama,” katanya kepada pemberita di Kuala Lumpur hari ini.

Muhammad Azhari dan isteri serta 4 anak mereka yang kesemuanya perempuan menghuni 1 ruang di tingkat 3 bangunan itu yang musnah dalam kebakaran berkenaan.

Nur Hayati serta anak mereka termasuk bayi berusia 9 bulan diselamatkan anggota bomba sejurus kejadian.

Menurut Muhammad Azhari ketika kejadian beliau dalam penerbangan pulang daripada mengerjakan ibadah haji dan hanya mampu berdoa akan keselamatan keluarganya apabila dimaklumkan tentang tragedi itu sebaik tiba di tanah air.

Katanya isteri dan anaknya Siti Nur Safiyah, 2, kemudian dikejarkan ke Hospital Kuala Lumpur sebelum dibenarkan pulang sehari kemudian.

7 remaja ditahan bakar sekolah tahfiz di Keramat kerana diejek

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.