Pembangkang tak rugi hilang Mat Taib, kata pembantu Azmin

Pembangkang tak rugi hilang Mat Taib, kata pembantu Azmin

Setiausaha Politik Menteri Besar Selangor, Mat Suhaimi Shafie berkata, Muhammad Muhd Taib tidak memberi sebarang sumbangan besar kepada parti ketika beliau bersama PKR.

Mat-Suhaimi-Shafie-mat-taib
PETALING JAYA: Tindakan Tan Sri Muhammad Muhd Taib kembali ke pangkuan Umno langsung tidak merugikan pembangkang, kata setiausaha politik menteri besar Selangor, Datuk Seri Azmin Ali.

Ini kerana, kata Mat Suhaimi Shafie, Muhammad tidak memberi sebarang sumbangan besar kepada parti ketika beliau bersama PKR.

“Saya tidak mendabik dada, namun kehilangannya tidak diratapi, malah adapun tidak menambah, pergipun tidak terasa. Saya hanya ucap selamat kepadanya,” katanya ketika dihubungi FMT.

Beliau mengulas sidang media tergempar yang diadakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak petang tadi untuk mengumumkan penyertaan Muhammad dalam Umno semula.

“Saya buat keputusan ini setelah 5 tahun kerana melihat keadaan di sebelah sana. Saya rasa perjuangan saya sia-sia sahaja,” kata Muhammad yang juga bekas naib presiden Umno.

Muhammad bersama Umno dan BN sejak 1964, sebelum menyertai PAS pada April 2013 dan melompat ke PKR pada September 2015.

Beliau pernah dilantik sebagai menteri besar Selangor serta menteri kemajuan luar bandar dan wilayah.

Mengulas lanjut, Suhaimi simpati dengan Najib yang terpengaruh dengan Muhammad sehingga mengadakan sidang media tergempar semata-mata untuk mengumumkan penyertaan bekas naib presiden Umno itu.

“Saya sangat simpati, apapun kemampuannya (Muhammad) kembali kepada Umno dengan mengaburi mata Najib dan pimpinan Umno sesuatu yang perlu diiktiraf,” katanya sambil menambah kemasukan Muhammad ke Umno tidak membimbangkan kerajaan negeri Selangor pimpinan Pakatan Harapan dan PAS.

Beliau berkata, perkembangan terbaru itu juga menggambarkan betapa terdesaknya Umno mahu menawan Selangor pada pilihan raya umum akan datang.

“Surat khabar lama pun ada kalanya bila sesak dan terdesak, bernilai juga kan?

“Boleh jual pukal,” sindirnya.

Bekas MB Selangor Muhammad Muhd Taib kembali sertai Umno

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.