Pembalakan haram: Reman suspek rasuah termasuk suami isteri dilanjut

Pembalakan haram: Reman suspek rasuah termasuk suami isteri dilanjut

Permohonan untuk menyambung tempoh reman dikemukakan atas alasan masih banyak dokumen yang perlu diteliti.

tangkap-sprm-pembalakan-haram
KUANTAN: Tempoh reman terhadap 5 individu termasuk seorang pegawai Jabatan Perhutanan Daerah Jerantut dan isterinya yang ditahan bagi membantu siasatan berhubung kes rasuah pembalakan haram di Jerantut dilanjut sehingga Rabu ini.

Peguam Datuk Ng See Tiong yang mewakili 2 daripada suspek berkata perintah tahanan reman itu dikeluarkan Penolong Kanan Pendaftar, Rini Triany Mohamad Ali selepas membenarkan permohonan yang dikemukakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Permohonan untuk menyambung tempoh reman dikemukakan atas alasan masih banyak dokumen yang perlu diteliti, selain ada barangan yang belum ditemui dan saksi yang terlibat berada di luar Pahang,” katanya kepada pemberita di Kompleks Mahkamah Kuantan hari ini.

See Tiong menambah SPRM yang diwakili Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Fadhly Mohd Zamri pada asalnya memohon perintah reman selama seminggu, namun dibantah oleh peguam atas alasan tempoh itu terlalu lama memandangkan anak guam mereka telah direman sejak 12 September lalu.

Selain See Tiong, turut mewakili suspek ialah peguam Datuk Syed Azimal Amir Syed Abu Bakar, Ibrahim Kamaluddin dan Hon Kai Ping.

Kelima-lima suspek yang berusia antara 40 hingga 50 tahun itu ditahan di rumah masing-masing dan Pejabat Hutan Jerantut pada 11 September lalu bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 17(a) dan Sekyen 16(a)(B) Akta SPRM 2009.

Mereka dipercayai terlibat dalam kegiatan pembalakan haram di daerah berkenaan yang mengakibatkan kerajaan negeri mengalami kerugian berjuta-juta ringgit dalam tempoh lebih 2 tahun lalu.

Dipercayai siasatan SPRM berkisar kepada pemberian dan pe­nerimaan rasuah agar tiada tindakan penguatkuasaan diambil terhadap kegiatan pembalakan haram di daerah itu antara 2015 hingga tahun ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.