Ibu Hasrullah ‘hilang’ imam solat jemaah, kata ibu saudara mangsa

Ibu Hasrullah ‘hilang’ imam solat jemaah, kata ibu saudara mangsa

Ibu mangsa terpaksa diberikan khidmat kaunseling bagi menenangkan keadaannya selepas mendapat berita kehilangan anak secara tiba-tiba.

kebakaran-tahfiz7
KUALA LUMPUR: Tidak terbayang kesedihan seorang ibu apabila anak yang sering menjadi imam ketika solat jemaah pergi dahulu meninggalkannya dan 5 adik-beradik yang lain.

Saat perkhabaran berita buruk yang menimpa anaknya, Laila Md Noor hampir tidak dapat menerima kenyataan anak bongsunya menjadi antara mangsa kebakaran Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah, Jalan Keramat Ujung.

Laila kemudiannya diberikan khidmat kaunseling bagi menenangkan keadaannya selepas mendapat berita kehilangan anak secara tiba-tiba.

“Alhamdulillah, sekarang hatinya semakin tenang dan redha menerima ketentuan Ilahi,” kata ibu saudaranya Misnun Md Noor, 58, ketika ditemui pemberita di Institut Perubatan Forensik Negara Hospital Kuala Lumpur.

Mangsa, Muhammad Hasrullah Ismail, 14, merupakan salah seorang pelajar tahfiz yang terlibat dalam nahas kebakaran yang meragut 21 nyawa termasuk 2 orang warden di pusat tahfiz berkenaan.

Mengulas lanjut, Misnun turut ditanya mengenai khabar angin mengatakan terdapat unsur sabotaj dalam insiden berkenaan.

“Kita tidak tahu apa sebenarnya yang berlaku. Kami hanya berserah pada pihak polis.

“Tiada siapa mahu kehilangan keluarga, tetapi kami redha dengan pemergiannya. Kali terakhir saya bertemu arwah ketika bapanya meninggal dunia 2 tahun lalu,” katanya.

Misnun berkata, anak saudaranya itu masuk ke pusat tahfiz 2 tahun lalu selepas kematian bapanya.

“Sejak arwah masuk tahfiz, banyak sangat perubahan. Sikapnya lebih sopan dan sangat menghormati orang tua,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.