Zakaria Arshad sambut baik pelantikan pengerusi FGV baharu

Zakaria Arshad sambut baik pelantikan pengerusi FGV baharu

Presiden dan ketua pegawai eksekutif FGV berkata beliau percaya pelantikan Azhar akan membawa perspektif baharu dan positif kepada lembaga pengarah dan pengurusan kumpulan itu.

fgv
KUALA LUMPUR: Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGV), Datuk Zakaria Arshad dilihat berada di Menara Felda hari ini.

Beliau tiba kira-kira dua jam selepas bermulanya mesyuarat pengurusan dipengerusikan oleh pengerusi baru dilantik, Datuk Wira Azhar Abdul Hamid.

Bagaimanapun, Zakaria berkata beliau bukan menghadiri mesyuarat itu tetapi ada perkara lain perlu diuruskan.

Bernama baru ini melaporkan Azhar berkata beliau berhasrat menyelesaikan isu jawatan Ketua Pegawai Eksekutif secepat mungkin dan akan melakukan yang terbaik untuk memulihkan FGV sambil mendokong nilai syarikat pertanian dan agro-komoditi dunia itu.

Sementara itu, dalam satu kenyataan berasingan, Zakaria berkata beliau percaya pelantikan Azhar akan membawa perspektif baharu dan positif kepada lembaga pengarah dan pengurusan FGV.

“Saya juga yakin momentum positif harga saham FGV minggu lepas akan berterusan, kerana pasaran yakin Azhar dan pengurusan mempunyai keupayaan untuk mengemudi syarikat kembali berada di landasannya.

“Menjadi harapan saya perkembangan positif ini menyuntik semangat baharu ke dalam kumpulan dan juga kakitangan, bagi memaksimumkan pulangan kepada pemegang kepentingan dan pemegang saham terutamanya Felda dan peneroka,” katanya.

Pada pukul 11 pagi harga saham FGV meningkat enam sen kepada RM1.70

 

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.