
Pengerusi Pakatan Harapan tu berkata semasa parti Islam itu dijemput bekerjasama dengan gabungan pembangkang, PAS meletakkan syarat yang akan memecahkan dan mengurangkan undi kepada PH.
Tanpa menyatakan apakah syarat tersebut, Dr Mahathir berkata PAS lebih fikirkan mengenai permusuhannya dengan Amanah dan DAP daripada menumbangkan kerajaan BN, walaupun akibatnya parti Islam akan menanggung kerugian dalam pertandingan antara mereka dan 2 gabungan politik itu.
“Bagi PAS yang penting bukan bangsa, agama dan tanahair; yang diutamakan bukan pun penyingkiran Kerajaan kleptokrat Najib,” kata Dr Mahathir, 92, di blognya hari ini.
“Yang jelas ialah jika PAS bertanding dalam PRU 14 berlawan dengan BN dan Pakatan Harapan maka undi orang Melayu akan terbahagi 3.
“Dalam keadaan ini undi bagi PAS, walau pun kecil tetapi berkesan mengurangkan undi kepada PH sehingga kemenangan tetap akan diperolehi oleh Dato Sri Najib dan BN,” katanya.
Bekas perdana menteri itu menambah PAS hanya akan memainkan peranan sebagai pengacau kepada pembangkang di kebanyakan kerusi yang ditandinginya.
Beliau berkata niat parti itu untuk bertanding di semua kerusi Parlimen yang ditandingi mereka pada pilihan raya umum lepas pada Mei 2013 akan menyakskan PAS kehilangan lebih banyak kerusi pada PRU14 berbanding sebelum ini.
Beliau berkata parti Islam itu tidak akan dapat meraih sokongan pengundi Cina, India dan pro-DAP sepertimana pada pilihan raya umum ke-12 pada Mac 2008.
“PAS tentu tahu kemenangannya di pantai barat (Malaysia Barat) dalam PRU-12 dan 13 disebabkan sokongan oleh DAP dan kaum Cina,” katanya.
Beliau berkata PAS mesti sedar tanpa sokongan seperti itu, mereka akan tewas pertandingan 1 lawan 1 menentang BN di negeri-negeri pantai barat.
“Tanpa sokongan DAP, PAS biasanya kalah di pantai barat di mana jumlah pengundi Melayu tidak sebesar di pantai timur.”
Beliau berkata PAS memenangi bilangan kerusi Parlimen dalam 2 pilihan raya lepas kerana kerjasama politik dengan DAP, atau dalam istilah Arab, tahaluf siyasi.
PAS memenangi 23 kerusi Parlimen pada pilihan raya 2008 dan 21 kerusi pada 2013.
Dr Mahathir berkata ikrar ketaatan dari penyokong fanatik kepada kepimpinan PAS dan obsesi terhadap parti tu akan memecahkan undi Melayu kerana percaya penentang PAS ialah “kafir” dan melawan mereka ialah “jihad.
Mereka perlu bertaubat, katanya.
Beliau mendakwa ini kerana penyokong terbabit mengikut ajaran PAS yang bercanggah dengan doktrin Islam yang mengatakan semua orang Islam bersaudara.
Dr Mahathir, yang merupakan perdana menteri selama 22 tahun sehingga 2003, berkata PAS hanya akan dapat menyertai kerajaan persekutuan dengan menyertai BN.
“Dengan itu besar kemungkinan PAS akan kalah lebih banyak dari PRU 13. Dalam PRU 14 PAS akan bertanding tiga penjuru dan undi DAP, Cina dan India tidak akan diperolehi oleh calon PAS.
“PAS sendiri akan kalah dalam kebanyakan kawasan yang ditandingi dan kekal berada dalam barisan pembangkang,” kata Dr Mahathir.
“Tidak ada satu pun dari perjuangannya yang didakwa untuk Islam yang dapat dicapai olehnya sejak ia ditubuh.”
Pada 28 Ogos lepas, majlis presiden PH mengumumkan gabungan itu tidak akan bekerjasama dengan PAS pada PRU-14.
Dalam kenyataan bersama selepas mesyuarat, kepimpinan parti berkata gabungan pembangkang akan menyediakan strategi menghadpai pertandingan 3 penjuru pada pilihan raya nanti.