Santiago dedah kekurangan Pelan Tindakan India Malaysia

Santiago dedah kekurangan Pelan Tindakan India Malaysia

Beliau berkata Pakatan Rakyat akan membantu masyarakat itu melalui campurtangan kerajaan secara radikal.

Charles-Santiago-Pelan-Tindakan-India-Malaysia
PETALING JAYA: Ahli Parlimen Klang Charles Santiago mengkritik Pelan Tindakan India Malaysia (MIB) yang dibentangkan Barisan Nasional baru-baru ini sebagai rancangan yang tidak akan dapat menjamin berhasil kerana ia tidak menangani beberapa isu asas.

Beliau berkata paling nyata ialah ketiadaan strategi khusus untuk mengurangkan ketidaksamaan pendapatan dan menangani kelemahan dalam pasaran buruh.

MIB merupakan pelan tindakan 10 tahun meliputi keperluan asas seperti pendidikan, perumahan, pekerjaan, keusahawanan dan keterangkuman sosial. Ia akan dilaksanakan oleh unit khas di Jabatan Perdana Menteri.

Santiago berkata kerajaan Pakatan Harapan akan dapat membantu masyarakat India dengan lebih berkesan melalui “campurtangan kerajaan secara radikal”.

Beliau berkata, masyarakat India malah dalam golongan B40 ketinggalan berbanding masyarakat lain. B40 merujuk kepada isi rumah yang berpendapatan bulanan RM3,900 ke bawah.

“B40 hanya memperoleh 16.8% daripada keseluruhan pendapatan di negara ini,” katanya. “Bakinya diraih oleh golongan 20% teratas (T20) dan 40% pertengahan (M40).

“Gaji tidak dapat menyaingi keadaan semasa. Jadi kita mesti laksanakan gaji yang lebih tinggi.”

Beliau berkata MIB menyentuh mengenai mengalakkan keusahawanan dan menambahbaik kemahiran bagi membantu masyarakat India memperoleh lebih banyak pendapatan, namun tiada jaminan program seperti itu dapat diterjemahkan kepada gaji lebih baik untuk membantu golongan B40 secara langsung.

Bercakap mengenai kelemahan dalam pasaran buruh, beliau berkata kewujudan pekerja asing tanpa izin menyebabkan paras gaji tertekan sejak 15 tahun kebelakangan ini dan keadaan itu menjejaskan golongan B40.

“Selagi kerajaan tidak membasmi kira-kira 2 juta pekerja asing tanpa dokumen, majikan akan terus mengambil mereka bekerja pada kos yang lebih rendah, memberi kesan kepada gaji.”

Beliau menambah kewujudan pekerja asing tanpa dokumen bukan sahaja menekan paras gaji tetapi juga mengambil peluang pekerjaan dari rakyat.

Santiago sedang membangunkan rancangan jangka panjang Pakatan Harapan untuk masyarakat India.

Bersama Naib Presiden PKr Xavier Jayakumar, beliau terlibat dalam sesi bertemu masyarakat bersama NGO India dan pemimpin setempat.

Beliau akui MIB mempunyai matlamat yang murni. “Tetapi menjadikan matlamat itu kenyataan perkara lain sama sekali,” katanya.

“Apa yang diperlukan ialah dasar yang mesti dikuatkuasakan, dan itu yang kerajaan PH akan lakukan.

“Campurtangan kerajaan yang radikal adalah diperlukan. Kerajaan Umno melakukannya untuk orang Melayu sejak rusuhan kaum 13 Mei 1969. Jika kita boleh lakukannya untuk orang Melayu, kita boleh lakukannya untuk orang India.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.