
Peguamnya, Rajsurian Pillai memberitahu FMT Jufazli menghadirkan dirinya di ibu pejabat polis Dang Wangi selepas mengetahui polis sedang mencari beliau.
Beliau kemudiannya ditahan kira-kira 3 petang berhubung dengan laporan polis yang dibuat di Tawau.
Rajsurian berkata pihak polis telah merampas telefon bimbit Jufazli dan kemudian memeriksa rumahnya di Kuala Lumpur di mana beliau tinggal untuk mendapatkan bukti.
“Polis mahu menerbangkan beliau ke Tawau esok.
“Jika mereka tidak boleh mendapatkan tiket penerbangan esok, polis akan memohon perintah reman esok,” kata Rajsurian.
“Selepas serbuan, Jufazli ditahan di lokap Dang Wangi.
“Jufazli disiasat mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia.”
Semasa dihubungi FMT, Ketua Polis Tawau ACP Fadil Marsus mengesahkan penangkapan itu dan Jufazli akan diterbangkan ke Tawau esok.
Semalam, Jufazli, Pengasas Gerakan Anak Muda Selamatkan Sabah berkata, beliau berhadapan dengan siasatan polis, dipercayai susulan laporan berhubung tulisan di media sosial mengenai kebakaran rumah setinggan di Tawau minggu lalu.
Jufazli berkata, beliau telah diminta hadir untuk dirakam percakapan di Bukit Aman, Kuala Lumpur petang ini.
Katanya, beliau akan disiasat di bawah Seksyen 500 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia.
Tahanan hari ini merupakan kali ke-3 oleh pihak polis sejak tahun lalu.
Aktivis itu ditahan pada Jun lalu untuk disiasat kerana disyaki melanggar Seksyen 4 Akta Hasutan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia.
Beliau pernah ditahan pada 9 November 2016 di sebuah pusat membeli-belah di Kuala Lumpur dan disiasat kerana memfitnah, menghasut dan kesalahan di bawah Akta Komunikasi dan Multmedia. Beliau ditahan sehingga 15 November.
Aktivis dari Semporna itu lantang mengkritik kerajaan Sabah, terutamanya mengenai kes rasuah melibatkan jabatan air negeri, di mana seorang bekas pengarah dan 2 yang lain didakwa mengubah wang membabitkan RM61.48 juta.
Pemuda berusia 28 tahun itu yang bercadang mencabar Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman di kerusi Sungai Sibuga pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) menyertai DAP sebagai ahli seumur hidup Jun lalu.
Sebelum ini beliau pernah berkata, sebagai umat Islam, beliau berbangga memilih DAP dalam usaha menewaskan Musa dan BN.