Bekas eksekutif direman berkaitan invois palsu RM23.65 juta

Bekas eksekutif direman berkaitan invois palsu RM23.65 juta

Dua lagi individu yang direman ialah bapa mentua kepada bekas eksekutif itu dan suami pengarah wanita di sebuah syarikat kontraktor.

gali-minyak-reman
PUTRAJAYA: Bekas eksekutif syarikat cari gali minyak antara 3 lagi individu direman 7 hari bagi membantu siasatan kes berkaitan tuntutan invois palsu berjumlah AS$5.56 juta (RM23.65 juta) bagi projek di Bintulu, Sarawak pada 2015.

Dua individu lain yang direman ialah bapa mentua kepada bekas eksekutif itu dan suami pengarah wanita di sebuah syarikat kontraktor direman Rabu lepas.

Majistret Nik Isfahanie Tasnim Wan Ab Rahman mengeluarkan perintah reman selama 7 hari bermula hari ini hingga 14 September.

Bekas eksekutif berusia 40 tahun itu kini seorang ahli perniagaan dan bapa mentuanya, 65, ditahan di rumah mereka di Taman Tun Dr Ismail, Kuala Lumpur sebelum dibawa ke Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada jam 10.30 malam tadi.

Suami kepada pengarah wanita sebuah syarikat kontraktor itu berumur 53 tahun yang bekerja sendiri pula ditahan pagi ini di Ibu Pejabat SPRM.

Sehingga kini, 6 individu termasuk seorang wanita ditahan bagi membantu siasatan kes tersebut mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009.

Rabu lepas, seorang pengurus kanan syarikat cari gali minyak dan seorang pengarah wanita sebuah syarikat kontraktor yang dikatakan dilantik untuk melaksanakan projek itu serta seorang bekas pembantu teknikal syarikat cari gali berkenaan direman 6 hari berhubung kes sama.

Berdasarkan laporan media, suspek dipercayai mengemukakan tuntutan palsu melalui 3 invois syarikat kontraktor berkenaan antara April hingga Jun 2015 bagi kerja sepatutnya dilakukan syarikat itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.