
Institut Analisis Dasar Konflik (Ipac) yang berpangkalan di Jakarta berkata ini berlaku walaupun militan berdepan pelbagai kesukaran untuk menyertai pejuang di Myanmar.
Myanmar menjadi fokus sekali lagi apabila penduduk Rohingya menjadi sasaran tentera Myanmar di wilayah Rakhine, selepas pertempuran antara tentara kerajaan dan Tentera Pembebasan Arakan Rohingya (ARSA) baru-baru ini.
IPAC berkata terdapat keinginan yang kuat di kalangan Asia Tenggara untuk pergi ke Myanmar untuk berlawan tetapi mereka menghadapi kesukaran untuk sampai ke lokasi pertempuran.
“Saya rasa ramai yang ingin pergi,” kata pengarah Ipac, Sydney Jones kepada FMT.
“Sebagai contoh, ribuan orang Indonesia dilaporkan telah mendaftar melalui Front Pembela Islam (FPI) dan kumpulan lain, tetapi mereka tidak mempunyai saluran untuk ke sana.”
Menurut Jones, Arsa tidak memberikan petanda ia mahukan bantuan luar, dan pejuang sukarela yang tidak berpengalaman kemungkinan akan menjadi beban kepada mereka.
“Pegawai sempadan di Bangladesh dan Myanmar juga mungkin akan menghalang bakal militan ini,” katanya.
Ipac dalam laporannya baru-baru ini mengenai keganasan di benua Asia Selatan dan Bangladesh, menggesa pelbagai pihak termasuk kerajaan, wartawan dan NGO di rantau ini memperkasakan tentangan tempatan di Myanmar supaya tidak ada alasan untuk militan luar campur tangan.
Laporan itu memberi amaran meletus pemberontak bersenjata Rohingya melalui pertubuhan Harekat al-Yakin yang kini dikenali sebagai Arsa.
“Mujahidin Indonesia dan Malaysia sudah lama berminat membantu saudara mereka yang teraniaya di Myanmar tetapi tidak mempunyai saluran yang baik untuk melakukannya,” kata laporan itu, merujuk pejuang militan.
Laporan itu juga memberi amaran kemungkinan pihak pro-IS di Asia Tenggara menghasut komuniti Rohingya di tengah keinginan mereka untuk pulang dan melawan tentera Myanmar.
“Kewujudan kumpulan bersenjata (ARSA) di kawasan serangan sempadan ke atas pasukan keselamatan Myanmar mengilhamkan kumpulan pro-IS di Bangladesh, Indonesia dan Malaysia untuk merekruk secara lebih sistematik di kalangan komuniti Rohingya untuk mencari individu yang bersedia melakukan serangan ke atas mereka sendiri,” kata laporan itu.
Jones berkata beliau percaya media sosial menjadi alat penting untuk merekrut warga Asia Tenggara untuk berjuang di Myanmar.
“Di Indonesia, contohnya, ada rayuan melalui media sosial dan aplikasi telefon bimbit, tetapi saya tidak fikir ada kemungkinan besar kemasukan beramai-ramai ke Myanmar lagi,” katanya.
Apa yang mungkin akan berlaku katanya ialah serangan balas dendam oleh militan Indonesia ke atas penduduk beragama Buddha di negara itu.
Jones mengakui situasi di Myanmar boleh dilihat sebagai peluang membela umat Islam, kali ini daripada penganiayaan dan pembersihan etnik.
Bagaimanapun, Jones berkata perjalanan ke Myanmar tidak semudah pergi ke Afghanistan pada 1980-an, ketika negara itu dicerobohi Soviet Union yang mencetuskan peperangan jihat melibatkan pelbagai kerakyatan dari negara Islam.
“Bagi Afghanistan, terdapat prasarana yang sangat baik yang menyediakan pembiayaan, tiket dan bantuan lain untuk para pejuang,” katanya.
“Tiada kemudahan sedemikian untuk membantu warga Asia Tenggara untuk sampai ke Myanmar untuk membantu Rohingya.
“Apa yang perlu dilakukan oleh masyarakat Islam adalah melobi kerajaan mereka untuk menerima sebanyak mungkin pelarian Rohingya dari Bangladesh kerana mereka dapat mengurusnya. Tugas itu di luar kemampuan Bangladesh untuk menguruskan pelarian itu.”