
Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin berkata, dunia tidak sepatutnya berdiam diri dan membiarkan pembunuhan etnik ini terus berlaku saban tahun dengan bantahan demi bantahan dilakukan tanpa sebarang penyelesaian muktamad.
“Kita menyokong gesaan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak kepada Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres supaya mencari jalan dan pendekatan terbaik secara keseluruhan bagi menyelesaikan konflik berdarah ini secara keseluruhan.
“Dunia perlu mengambil langkah pantas bagi menyelesaikan kekejaman ke atas etnik Rohingya ini seperti kita bertindak apabila krisis kemanusiaan dan kekejaman melanda mana-mana kumpulan insan sekalipun,” katanya kepada pemberita hari ini.
Khairy sebelum itu mempengerusikan mesyuarat berkaitan demonstrasi bantahan Pemuda Umno mengenai krisis kemanusiaan Rohingya yang akan diadakan esok.
Sidang media tersebut turut dihadiri rakan parti komponen Barisan Nasional, Majlis Belia Malaysia, pertubuhan belia dan badan bukan kerajaan (NGO).
Khairy berkata, sidang tergempar PBB itu adalah permulaan bagi mencari jalan penyelesaian bersama agar krisis kemanusiaan dan pembunuhan etnik ini tidak lagi berulang di masa depan.
Mengulas bantahan esok, Khairy berkata, satu memorandum akan dihantar Pemuda Umno disertai NGO ke Wisma PBB di Jalan Dungun, Bukit Damansara sebelum bergerak ke Kedutaan Myanmar di Jalan Ampang Hilir atas semangat solidariti bersama etnik Rohingya.
“Kita juga melancarkan kempen ‘Air Mata Untuk Rohingya’ sebagai solidariti untuk saudara seagama kita di sana,” tambahnya.