
Dr Afif Bahardin percaya rancangan Anwar itu akan dapat memastikan golongan miskin dalam kalangan semua kumpulan etnik di negara memperoleh bantuan diperlukan, bukan sahaja bumiputera.
“Apa tujuan status bumiputera? Pertikaian asal tentang isu bumiputera adalah soal peluang pendidikan, ekonomi dan perniagaan.”
“Lebih baik status bumiputera kepada semua dengan syarat tindakan afirmatif diwujudkan di mana peluang ekonomi, pendidikan dan sebagainya diberikan.
“AEM oleh Anwar Ibrahim menyarankan ekonomi berdasarkan keperluan. Kita bantu golongan miskin tanpa mengira kaum,” katanya pada forum Apa Anak Muda Mahu Untuk Malaysia Baru yang diadakan semalam.
AEM pertama kali diperkenalkan oleh bekas ketua pembangkang sebagai sebahagian daripada manifesto PKR untuk pilihan raya umum 2008 mengekalkan hak istimewa Melayu dan penduduk asal lain tetapi juga fokus membasmi kemiskinan semua.
Dr Afif berkata demikian selepas mempersoalkan kerajaan yang kini mempertimbangkan status bumiputera untuk India Muslim.
“Baru ini Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak umumkan status bumiputera akan diberikan kepada India Muslim di Malaysia. Mengapa tidak diberikan juga kepada Cina Muslim?”
“Orang akan tuduh saya mahu merampas hak keistimewaan orang Melau tetapi hakikatnya tidak.
Julai lalu, Najib mengumumkan akan mengkaji permintaan masyarakat India Muslim untuk diperakui sebagai Bumiputera.
Bagaimanapun, pakar undang-undang perlembagaan Prof Dr Aziz Bari berkata persoalan Bumiputera untuk India Muslim tidak timbul kerana ianya jelas dalam perlembagaan mereka layak dianggap Melayu.
Perlembagaan Persekutuan menakrifkan seorang Melayu sebagai Islam, bercakap bahasa Melayu dan mengamalkan budaya Melayu.
Seorang lagi ahli panel, peguam hak asasi Syahredzan Johan juga bersetuju dengan Afif yang mahu sistem Bumiputera digantikan dengan dasar tindakan afirmatif.
Bagaimanapun, Syahredzan mengakui perkara ini sensitif buat Melayu dan ianya perlu dijelaskan dengan teliti.
Beliau berkata pengundi Melayu ditakuti pihak tertentu yang mengatakan hak Melayu akan hilang jika Pakatan Harapan memenangi pilihan raya umum akan datang dan mengambil alih Putrajaya.
Syahredzan berkata ini mustahil kerana hak Melayu dan penduduk asal termaktub dalam Perlembagaan dan hanya boleh dipinda jika mendapat persetujuan daripada Majlis Raja-Raja.
Beliau berkata jika kerajaan mempunyai majoriti 2/3 untuk meminda peruntukan hak Melayu sekalipun, persetujuan Majlis Raja-Raja harus diperolehi.
“Orang Melayu betul-betul bimbang walaupun sesetengah Melayu marah dengan BN, mereka masih bimbangkan perkara ini. Sudah tiba masanya orang Melayu lupakan perkara ini.
“Jadi, parti Pakatan harus meyakinkan orang Melayu yang hak mereka dikekalkan apabila mereka mengambil alih. Ini harus diingatkan berulang kali terutamanya kepada penduduk luar bandar,” kata Syahredzan.