Guan Eng: Serang keturunan Dr M lukakan hati India Muslim

Guan Eng: Serang keturunan Dr M lukakan hati India Muslim

Ketua menteri Pulau Pinang itu berkata, serangan ke atas Dr Mahathir Mohamad memberi tanggapan India Muslim tidak boleh menjadi pemimpin negara.

guan-eng-amhathir
GEORGE TOWN:
Serangan terbaru terhadap keturunan Tun Dr Mahathir Mohamad oleh pemimpin Barisan Nasional (BN) mungkin melukakan hati orang India Muslim di negara ini, kata Lim Guan Eng.

Setiausaha agung DAP itu berkata, walaupun diketahui umum keraguan terhadap keturunan Melayu Dr Mahathir dibangkitkan BN untuk mencemarkan nama baiknya dalam kalangan penyokong Melayu, serangan itu turut memberi tanggapan yang orang India Muslim tidak boleh menjadi pemimpin di negara ini.

“Jangan lupa berapa ramai India Muslim di Malaysia dan Pulau Pinang. Dengan jumlah hampir 1 juta hingga 1.5 juta di negara ini, anda rasa mereka gembira dengan serangan Umno ini?

“Mereka memberi tanggapan orang India Muslim atau India secara umumnya, tidak berhak menjadi pemimpin di Malaysia.

“Saya rasa jika anda tidak menentang BN, semuanya okey. Tetapi, jika kamu melawan BN, mereka akan mempersoalkan siapa bapa dan datuk kamu.”

Isu keturunan Dr Mahathir timbul kira-kira sebulan lalu, apabila Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mendakwa nama penuh bekas perdana menteri itu seperti tertera pada kad pengenalan lamanya ialah “Mahathir a/l Iskandar Kutty”.

Zahid pada 30 Julai lalu berkata, maklumat itu diberikan kepadanya oleh ketua pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

Singkatan “a/l” bermaksud anak lelaki dan biasanya digunakan untuk penamaan rasmi kaum India di Malaysia.

Zahid berkata, “lelaki yang memperjuangkan agenda Melayu” itu sebenarnya “memperalatkan orang Melayu”.

Bagaimanapun, Dr Mahathir yang juga pengerusi Pakatan Harapan mempersoalkan bagaimana JPN boleh memberikan gambar lama kad pengenalannya, sedangkan beliau tidak pernah menyerahkannya kepada JPN.

Iskandar ialah datuk Dr Mahathir, yang umum diketahui mempunyai asal-usul campuran India dan Melayu.

Hari ini, Lim berkata, isu keturunan Dr Mahathir menunjukkan BN bimbang dengan pengaruh bekas perdana menteri itu dalam kalangan pengundi Melayu.

“Sebab itulah mereka menyerang keturunan Dr Mahathir dengan menggelarnya India dan bukan Melayu, sedangkan tiada masalah itu timbul ketika beliau menjadi perdana menteri selama 22 tahun.”

Dalam autobiografinya bertajuk ‘A Doctor in the House: The Memoirs of Tun Dr Mahathir Mohamad’ yang diterbit pada 2011, Dr Mahathir mengakui mempunyai keturunan India Selatan, tetapi “Saya orang Melayu dan bangga dengannya.”

“Saya orang Melayu bukan hanya di atas kertas, saya juga orang Melayu dari segi sentimen dan semangat.”

Zahid: Mahathir a/l Iskandar Kutty gunakan orang Melayu, Umno

Iskandar ialah datuk Dr Mahathir, bukan bapanya, kata Marina

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.