Menteri: Penubuhan FRIM Inc bantu jana pendapatan sendiri

Menteri: Penubuhan FRIM Inc bantu jana pendapatan sendiri

Menteri sumber asli dan alam sekitar berkata, melalui pengkomersilan produk penyelidikan dan pembangunan, Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia secara tidak langsung dapat mengurangkan kebergantungan kepada dana kerajaan.

wan-junaidi
KUALA LUMPUR:
Kementerian Kewangan meluluskan penubuhan FRIM Inc bagi memajukan dan membangunkan hasil penyelidikan dalam sektor perhutanan, kata Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Beliau berkata, dengan kelulusan yang diperoleh 4 Ogos lalu itu, Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) dapat menjana pendapatan sendiri melalui pengkomersilan produk penyelidikan dan pembangunan yang dijalankannya.

Ini secara tidak langsung mengurangkan kebergantungan kepada dana kerajaan, katanya selepas menghadiri Perhimpunan Raya Korban Perdana kementerian itu di Masjid Jamek FRIM hari ini.

Pada 7 April tahun lepas, Dewan Rakyat meluluskan Rang Undang-undang FRIM 2016 yang antara lain membenarkan institut itu menubuhkan atau memajukan syarikat untuk memperkukuhkannya menjadi sebuah badan pihak berkuasa bagi mengkomersial dan mengurus program atau projek berkaitan bidang penyelidikan hutan.

Sementara itu, Ketua Pengarah FRIM, Datuk Dr Abd Latif Mahmod berkata, kira-kira 150 produk berpotensi akan dikomersilkan pada peringkat awal.

Beliau berkata, 15 produk terbaik disasarkan berada di pasaran tahun depan dengan jangkaan pendapatan antara RM150 juta dan RM200 juta selepas 3 tahun di pasaran.

“Kita tubuhkan pasukan khas bagi membantu memastikan produk-produk ini berjaya dipasarkan dan menembusi pasaran antarabangsa,” katanya.

Beliau berkata, antara produk berpotensi ialah perabot daripada hasil hutan, terutamanya yang diusahakan pengusaha bumiputera.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.