
Gibson yang berasal dari Amerika Syarikat berkata, tiada apa yang boleh mengaitkan kematian Houssenaly Zahid Raza dengan pesawat yang hilang sejak 8 Mac 2014 itu.
“Sama ada tragedi ini ada kaitan dengan kapasiti konsul Houssenaly, MH370, urusan perniagaan lain atau peribadi adalah pramatang.
“Biar pihak berkuasa menjalankan siasatan dan maklumkan kami mengenai penemuan mereka,” katanya.
Gibson berkata demikian susulan laporan akhbar Australia, Perth Now yang menyatakan Houssenaly maut sebelum beliau dapat memastikan serpihan MH370 dihantar ke Malaysia.
Serpihan itu masih dalam tangan pihak berkuasa Madagascar, tetapi perancangan baru perlu dibuat untuk menghantar serpihan berkenaan ke Malaysia.
Gibson sendiri menerima ugutan maut yang menurutnya bertujuan menghalangnya daripada terbabit dalam misi pencarian MH370.
Menurut laporan, Houssenaly dibunuh pada 24 Ogos lalu dengan sesetengah media mendakwa beliau ditembak mati di Antananarivo, ibu negara Madagascar.
Kementerian Luar tahu mengenai kematian Houssenaly. Namun, tiada butiran diberikan mengenai punca kematiannya.
Jabatan Penerbangan Awam (DCA) menerusi kenyataan semalam berkata, Houssenaly banyak membantu Malaysia dalam pencarian serpihan MH370 di Madagascar.
Ketua Pengarah DCA, Azharuddin Abdul Rahman berkata, kematian Houssenaly masih dalam siasatan, oleh itu tidak wajar dan tidak bertanggungjawab untuk membuat spekulasi berhubung perkara itu.
Pemburu serpihan dakwa konsul Malaysia dibunuh kerana serpihan MH370
Menteri: Kaitkan kematian konsul dengan MH 370 hanya spekulasi liar