
Samuri, 73, meninggal dunia akibat kanser hati tahap empat yang dikesan sejak awal tahun ini.
Anak ketiganya, Nor Ilyana, 37, berkata penyakit tersebut dikesan selepas bapanya membuat pemeriksaan kesihatan setelah mengadu sakit pada bahagian perut.
“Allahyarham sebelum ini pernah membuat pembedahan jantung dan berjaya, namun awal tahun ini ketika beliau membuat pemeriksaan susulan dengan menjalankan CT Tap Scan (Computed Tomography of Thorax, Abdomen and Pelvis) baharu kami tahu Allahyarham menghidap kanser hati.
“Allahyarham baharu sahaja keluar dari hospital lima hari lepas untuk berehat di rumah namun tengah malam tadi, Allahyarham menghembuskan nafasnya yang terakhir. Beliau pergi dalam keadaan tenang dan kami sekeluarga reda dengan pemergiannya,” katanya ketika dihubungi Bernama.
Jenazah Samuri dikebumikan pagi tadi selepas disembahyangkan di Masjid Al-Falah Sungai Ramal Dalam.
Nor Ilyana berkata beliau sekeluarga akan meneruskan legasi perniagaan sate yang bermula sejak 1992 seperti yang diwasiatkan bapanya.
“Sebelum ini memang kami lima beradik sudah melibatkan diri dalam perniagaan sate ini, jadi kami akan meneruskan perniagaan ini seperti biasa,” katanya.
Samuri meninggalkan balu Datin Jani Mohamad Amir dan 5 anak iaitu Norsham, Sofian, Nor Ilyana, Shafeq dan Nurul Aqilah.
Sehingga kini perusahaan Sate Kajang Hj Samuri mempunyai 20 cawangan di seluruh negara dengan lebih 500 pekerja.