Anggota polis ditembak mati dalam balai

Anggota polis ditembak mati dalam balai

Pistol lans koperal berusia 29 tahun itu turut hilang dari tempat kejadian.

cop-gunned-down-1
PETALING JAYA: Seorang anggota polis ditemui maut dengan kesan tembakan di badan, dalam sebuah balai polis komuniti di Subang Jaya, awal pagi tadi.

Ketua Polis Selangor, Datuk Mazlan Mansor berkata, selain kesan 1 das tembakan yang dilepaskan daripada pistol mangsa dari jarak dekat, lans koperal berusia 29 tahun itu juga cedera di kepala.

cop-gunned-down-1-1Beliau berkata, kejadian itu berlaku ketika mangsa bersendirian dalam Balai Polis Pinggiran USJ dan mayatnya ditemui rakan sejawatan sekembali mereka daripada rondaan kira-kira 3.25 pagi.

Katanya, pistol mangsa juga didapati hilang.

“Anggota yang bertugas itu tertiarap dan apabila dibuka lampu, kelihatan kepala dia berdarah dan ada luka. Pada masa sama badan ada kesan tembakan,” katanya pada sidang media di tempat kejadian hari ini.

Mazlan berkata, balai itu tidak mempunyai kamera litar tertutup (CCTV), tetapi polis sedang memeriksa rakaman CCTV di premis berhampiran.

Katanya, saksi yang terdengar bunyi letupan di kawasan balai polis itu kira-kira jam 2.40 pagi tadi, menyangkakan ia adalah letupan bunga api bagi meraikan Hari Kebangsaan ke-60.

Beliau berkata, mangsa yang berasal dari Sarawak itu sudah berkhidmat dengan pasukan polis selama 7 tahun dan meninggalkan seorang isteri.

Katanya, mangsa tidak mempunyai sebarang masalah peribadi atau keluarga dan beliau tidak menolak kemungkinan lebih seorang suspek terbabit dalam serangan itu.

 

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.