
Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Setar, Supt Yazri Ismail berkata, kejadian itu berlaku kira-kira 2 petang apabila Jafrul Nizam Jaafar, 38, yang memandu Perodua Myvi mengejar dan menghimpit kereta Perodua Myvi dipandu bekas isteri, Marziana Mahadzir, 37, bersama anak lelaki mereka.
Akibat himpitan itu, kereta Marziana terbabas dan melanggar sebatang pokok di atas pembahagi jalan, manakala kereta Jafrul pula hilang kawalan dan melanggar Proton Saga yang dipandu seorang anggota tentera, Faizal Baharom, 36, katanya dalam kenyataan.
Menurut Yazri, akibat pelanggaran itu, kereta yang dipandu Faizal terbalik sebelum melanggar pagar Kuarters Jabatan Meteorologi Malaysia.
“Akibat kemalangan itu, keempat-empat mangsa mengalami kecederaan parah dan kini dirawat di Hospital Sultanah Bahiyah,” katanya sambil menambah kes disiasat mengikut Seksyen 43 Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Sebelum kejadian, katanya, Jafrul difahamkan bergaduh dengan bekas isterinya berhubung hak penjagaan anak.