Selepas dipecat, bekas ketua Pemuda PKR Kelantan dilantik koordinator

Selepas dipecat, bekas ketua Pemuda PKR Kelantan dilantik koordinator

Pengerusi PKR Kelantan, Ab Aziz Ab Kadir berkata, pemecatan Mohd Hafidz Rizal Amran tidak dibuat melalui proses wajar dan pelantikan Mohd Khairul Amin Abdul Rahman sebagai ketua Pemuda PKR negeri melanggar Peraturan Tetap Pemuda PKR.

Ab-Aziz-Ab-Kadir
PETALING JAYA:
Pengerusi PKR Kelantan hari ini melantik Mohd Hafidz Rizal Amran sebagai koordinator Pemuda PKR negeri dengan alasan pemecatannya dibuat secara tidak demokratik dan tanpa melalui proses wajar.

Ab Aziz Ab Kadir dalam kenyataan hari ini berkata, proses pelantikan Mohd Khairul Amin Abdul Rahman untuk menerajui Pemuda PKR Kelantan oleh Ketua Pemuda parti itu, Nik Nazmi Nik Ahmad melanggar Perkara 14.4 Peraturan Tetap Pemuda PKR.

Katanya, peruntukan itu jelas menyatakan pelantikan ketua Pemuda negeri perlu dirunding bersama ketua Pemuda cabang dan pengerusi PKR negeri.

“Malangnya, Nik Nazmi gagal melaksanakan proses ini. Oleh demikian, saya dengan ini tidak mengiktiraf pelantikan ketua Pemuda Kelantan yang baru.

“Mengambil semangat daripada pelantikan Shamsul Iskandar Mohd Akin sebagai koordinator Pemuda di peringkat pusat oleh Ketua Umum, Datuk Seri Anwar Ibrahim, saya dengan ini selaku pengerusi PKR Kelantan melantik Hafidz Rizal selaku koordinator Pemuda Kelantan.”

Beliau turut menggesa semua Pemuda cabang di Kelantan memberi kerjasama dan bekerja sebagai sebuah pasukan untuk memperkukuhkan PKR serta melancarkan persiapan bagi menghadapi pilihan raya umum akan datang.

Isnin lalu, Nik Nazmi dilaporkan berkata, pemecatan Hafidz sebagai ketua Pemuda PKR Kelantan dibuat untuk memenuhi permintaan ahli parti di negeri itu dan selepas perbincangan minggu lalu.

“Keputusan ini dibuat selepas ‘follow up’ minggu lepas semasa saya berada di luar negara, pimpinan Pemuda Pusat turun ke Kelantan dan bertemu Pemuda Kelantan, termasuk Hafidz Rizal.

“Jadi, kita dapat maklum balas daripada Pemuda Kelantan, dari situ kita buat keputusan dan disampaikan kepada presiden dan keputusan untuk tukar dibuat,” katanya yang menafikan keputusan itu susulan kecenderunganHafidz bekerjasama dengan PAS dan membantah keputusan PKR Pusat mengarahkan ahli PKR Kelantan melepaskan jawatan dalam kerajaan negeri.

Semalam, Hafidz mendakwa pemecatannya tidak mengikut peraturan parti kerana ia dibuat Nik Nazmi secara unilateral tanpa melalui perbincangan sewajarnya.

“(Keputusan itu) tanpa melalui mesyuarat Biro Politik Pemuda mahupun pimpinan Pemuda PKR Pusat yang tidak bersidang sejak Mac 2017 dan tanpa melalui proses konsultasi dengan pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Kelantan sebagaimana yang termaktub dalam Peraturan Tetap Pemuda,” katanya.

tags: bahasa, kl, fmt, malaysia, hafidz rizal, ketua pemuda pkr, pecat, lantik, pengerusi pkr, Kelantan

Ketua Pemuda PKR Kelantan dipecat atas kehendak ahli, kata Nik Nazmi

Bekas ketua Pemuda PKR Kelantan selar Nik Nazmi tak ikut peraturan

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.