

“Sebarang percubaan oleh mana-mana organisasi untuk memperkenalkan pek kiddie bertentangan dan regresif kepada Dasar Kebangsaan Kawalan Tembakau,” kata Dr Molly Cheah, yang mengetuai Majlis Kawalan Tembakau Malaysia (MCTC).
Badan itu diwakili antara lain oleh pakar perubatan, aktivis pengguna dan NGO.
“Pek kiddie” merujuk kotak rokok 10 batang yang diharamkan di beberapa negara, termasuk Malaysia pada 2010.
Baru-baru ini, beberapa laporan menyebut kerajaan bercadang membenarkan semula jualan kotak rokok saiz tersebut.
Ia menerima sokongan syarikat tembakau, termasuk persatuan peruncit yang berkata, rokok bungkusan kecil akan mengurangkan permintaan untuk rokok seludup yang lebih murah.
Sabtu lalu, Presiden Persatuan Pemilik Kedai Kopi Malaysia-Singapura, Ho Su Mong dilaporkan berkata, rokok kotak kecil itu ialah langkah pragmatik yang boleh menghentikan perokok daripada membeli rokok haram, memandangkan harga rokok di pasaran mahal.
Dr Cheah berkata, alasan jualan rokok pek 20 batang akan menggalakkan orang ramai merokok dan tiada penurunan ketara dalam jumlah perokok walaupun harga meningkat, tidak berasas dan tidak benar.
Beliau berkata, dasar melarang jualan rokok kotak kecil bertujuan menghalang golongan muda dan miskin membeli rokok serta perokok baru mencubanya.
“Fakta tiada peningkatan ketara dalam tabiat merokok di Malaysia ialah bukti dasar ini berkesan, selaras hasil penyelidikan dan cadangan antarabangsa melalui Konvensyen Rangka Kerja Kawalan Tembakau (FCTC).”
Katanya, jika pek kecil diperkenalkan, ia tidak akan membantu sasaran negara mengurangkan tabiat merokok kepada 15% pada 2025 dan di bawah 5% menjelang 2045 mengikut Pelan Strategik Kebangsaan Mengenai Kawalan Tembakau.
Beliau berkata, setiap rakyat bertanggungjawab melaporkan penjualan rokok seludup kepada pihak berkuasa dan Jabatan Kastam berperanan membasmi rokok haram, manakala pertubuhan peruncit perlu menggalakkan orang ramai menghormati kedaulatan undang-undang dan menjalankan perniagaan sebagai tanggungjawab sosial mereka.
Untuk membasmi jualan rokok haram, MCTC mengesyorkan kerajaan melaksanakan protokol menghapuskan perdagangan hasil tembakau haram dan undang-undang kawalan tembakau yang komprehensif selaras peruntukan FCTC.
“Menjatuhkan penalti berat kepada penyeludup hasil tembakau, termasuk rampasan harta peribadi mereka yang didapati bersalah dan melarang semua premis makanan menjual hasil tembakau.”