

Selama beberapa dekad, mereka hidup harmoni. Namun salah faham kecil bertukar menjadi kemarahan yang dicampur dengan hasutan sentimen perkauman.
Tragedi di Kampung Medan serta beberapa kawasan berhampiran itu dikatakan berpunca daripada salah faham antara tuan rumah sebuah majlis perkahwinan dengan jirannya yang sedang menguruskan pengebumian.
Kini, 16 tahun kemudian, Alwi Yunus, 61, tuan rumah majlis perkahwinan itu, sudah dapat meneruskan kehidupannya tanpa diselubungi kemarahan daripada peristiwa hitam itu. Apa yang tinggal kini hanyalah pengajaran.
Beliau sendiri menerima 42 jahitan dalam peristiwa itu, yang meragut 6 nyawa.
Alwi mengakui sukar melupakan parut di tangannya akibat ditetak parang yang menyebabkan tangan beliau terpaksa dibalut pada hari perkahwinan anaknya.
Bagaimanapun, beliau tidak lagi menyimpan dendam terhadap orang yang menyerangnya, dan peristiwa itu mengajarnya supaya lebih berhati-hati dalam menjaga hubungan dengan kaum lain.
Tolak ansur
Katanya, tiada keperluan menyalahkan mana-mana pihak kerana lebih penting ialah sikap bertolak ansur yang perlu diamalkan masyarakat berbilang kaum bagi mengelakkan sejarah hitam itu berulang.
“Puncanya satu, salah faham dan tidak ada tolak ansur. Itu yang saya lihat ketika kejadian berlaku.

“Sebelum kejadian, tidak ada apa-apa punca yang menyebabkan pergaduhan. Tetapi disebabkan sikap tidak mahu mengalah dan provokasi yang timbul daripada kedua-dua pihak menyebabkan pergaduhan tercetus seakan-akan peristiwa 13 Mei 1969 berulang,” katanya.
Dalam kejadian 4 Mac 2001 itu, pergaduhan tercetus apabila pihak tertentu didakwa menyebarkan khabar angin berbaur perkauman dan provokasi sehingga menyebabkan kawasan di sekitar Kampung Medan menjadi tegang.
Susulan itu, Pasukan Gerak Am (PGA) dikerahkan ke tempat kejadian bagi membantu Unit Simpanan Persekutuan (FRU) dan ratusan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya bagi mengawal keadaan.
Keganasan di Kampung Medan itu turut menjejaskan Taman Lindungan Jaya dan Taman Datuk Harun yang terletak di kawasan sama, menyaksikan ratusan orang ditahan dengan berpuluh-puluh lagi cedera.
Isteri Alwi, Jamilah Saleh ketika menceritakan detik cemas itu berkata, keadaan sangat tegang sehingga polis dari Bukit Aman, tentera dan anggota FRU dikerahkan ke tempat kejadian.
“Saat itu saya tidak boleh lupakan dan saya berharap kejadian seperti itu tidak berulang lagi,” kata wanita berusia 63 tahun itu.
India dan Melayu hidup aman
Ahli Jawatan Kuasa Rukun Tetangga Taman Lindungan Jaya, Zainal Abidin, 60, berkata keadaan sekarang amat berbeza dengan dahulu kerana penduduk setempat saling mengambil berat antara satu sama lain, manakala Adun Taman Medan turut menjaga semua komuniti di sana.
“Sehingga hari ini tidak ada masalah dan wakil rakyat di sini sudah ambil berat kawasan ini, terutama menjaga orang-orang muda di sini.
“Kita jaga mereka, macam mana nak tempat ini aman, duduk selesa tak ada kecoh. Dulu benda-benda ini tidak boleh dikawal.”
Katanya, peristiwa pada 2001 itu memberi pengajaran berharga kepada mereka mengenai kepentingan bertolak ansur dan berunding jika wujud perselisihan faham.
“Walaupun komuniti India di Taman Lindungan Jaya tidak banyak, tetapi perubahan boleh dilakukan dengan duduk bersama membincangkan masalah dihadapi.
“Tidak kira mana-mana parti, tetapi perlulah ada kesepaduan antara semua kaum,” katanya.
Seorang penduduk Taman Lindungan Jaya yang berusia 46 tahun, Gopal Krisnen Narayan berkata, penduduk setempat kini saling menghormati satu sama lain dan hidup secara harmoni.
“Saya sudah duduk di sini 30 tahun, semua sudah elok, tidak ada masalah dan sering berbual bersama semua semua komuniti di sini.
“Kalau musim raya, kita sama-sama sambut dan amalkan budaya kunjung-mengunjung ke rumah.
“Dulu orang muda mungkin cetus masalah, sekarang tidak ada lagi,” katanya.