
Ahli sains politik Prof Ahmad Fauzi Abdul Hamid dari Universiti Sains Malaysia (USM) itu menjelaskan pada pertengahan 1990-an, pemahaman Islam seperti itu membawa kepada proses Islamisasi agresif yang turut mengubah sekolah kebangsaan di negara ini.
“Apa yang berlaku kepada pelajar yang dibentuk pemikiran sebegitu melalui kurikulum kita sejak 1990-an?
“Terdapat kesan buruk kepada sekolah kebangsaan yang kemudiannya menghancurkan masyarakat,” kata Ahmad Fauzi di wacana “The Many Shades of Islamism and Islamist di Malaysia” di Universiti Sunway hari ini.
Beliau berkata kontroversi terbaharu membabitkan sebuah sekolah di Cheras yang mengasingkan bekas minuman untuk pelajar Islam dan bukan Islam contoh “Islamisasi pelampau”.
Beliau berkata badan kehakiman negara turut terkesan dengan kebangkitan Islam “salafi”, apabila pusat pengajian tinggi dengan kecenderungan itu menghasilkan siswazah dari latar belakang seperti itu.
Pemikiran “salafi”, atau juga dirujuk sebagai “wahabi”, berdasarkan tafsiran teks Islam yang memberi ilham kepada beberapa kontroversi, seperti larangan memandu ke atas wanita di Arab Saudi.
“Terdapat juga para hakim yang membesar dengan wacana berasaskan ‘salafi’ di universiti seperti Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, dan ini menerangkan beberapa keputusan yang pernah dibuat sebelum ini,” tambah Ahmad Fauzi.
Arabisasi
Ahmad Fauzi berkata satu lagi ancaman kepada Malaysia ialah kebangkitan Islam versi “Arab”, dan kesan daripada mendakap pemahaman Islam seperti itu sukar dipulihkan, seperti yang boleh dilihat di Nigeria dan Sudan.
Beliau tdak menafikan pengaruh Arab ke atas Islam, tetapi mengingatkan akan perbezaannya dengan Arab yang mula sekali datang ke Tanah Melayu, yang menerima budaya tempatan.
“Kebanyakan pedagang Arab yang datang ke dunia Melayu ialah sufi,” katanya.
“Terdapat banyak bukti yang menunjukkan mereka menerima banyak perkara yang sudah menjadi sebahagian daripada budaya di alam Melayu,” katanya.
Beliau berkata oleh kerana Nabi Muhammad seorang Arab, maka akan ada amalan orang Arab dalam kalangan orang Islam, seperti amalan berbuka puasa dengan kurma di bulan Ramadan.
Namun masalah timbul apabila pihak tertentu cuba memaksakan pemikiran mereka ke atas orang lain.
Beliau berkata orang Melayu Islam harus mencari jalan untuk mendakap budaya Melayu pada bila-bila masa.
“Contohnya, memang sunah untuk menutup kepala, tetapi tak salah pun memakai songkok dan bukannya serban,” kata Ahmad Fauzi.