Tsunami Melayu: Analisis Kian Ming menarik tapi tersasar, kata Salleh

Tsunami Melayu: Analisis Kian Ming menarik tapi tersasar, kata Salleh

Salleh berkata, Kian Ming dalam analisisnya tentang PRU14 menyatakan akan berlaku 15% peralihan undi Melayu kepada Pakatan Harapan (PH) seperti pada tahun 1999 dan 2008, tetapi pandangan itu tidak berdasarkan fakta tepat.

salleh-keruak-pengundi-melayu-Ong-Kian-Ming
PETALING JAYA: Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak menyifatkan analisis pemimpin DAP Dr Ong Kian Ming mengenai ‘tsunami Melayu” yang dikaitkan dengan kemungkinan peralihan sokongan pengundi Melayu sebagai menarik tetapi jauh tersasar.

Salleh berkata, Kian Ming dalam analisisnya tentang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) menyatakan akan berlaku 15% peralihan undi Melayu kepada Pakatan Harapan (PH) seperti mana yang berlaku pada 1999 dan 2008, tetapi analisis itu tidak berdasarkan fakta yang tepat.

Katanya, hujah Ahli Parlimen Serdang itu mudah di mana setiap kali Umno berpecah akan menyebabkan orang Melayu menolak BN, lalu menyokong pembangkang.

“Ini dapat dilihat dalam PRU 1999 apabila peralihan undi Melayu berlaku sebanyak 27%. Dalam PRU 2008 pula, BN hilang majoriti 2/3 apabila 6% lagi pengundi Melayu beralih menyokong pembangkang.”

Pun begitu, soal Salleh, bolehkah dicapai 15% peralihan sokongan Melayu ini pada PRU14.

“Kian Ming kata tidak mustahil jika melihat kepada sikap pengundi Melayu dalam PRU 1999 dan 2008, dan juga jika melihat kepada munculnya PPBM.

“Benarkah andaian Ong Kian Ming tersebut? Hasil semakan saya kepada data lepas mendapati analisis Kian Ming tersasar dari fakta sebenar,” kata beliau yang juga bendahari Umno dalam tulisan disiarkan menerusi blognya hari ini.

Semalam, Kian Ming mendedahkan statistik sokongan daripada 3 komuniti utama di Semenanjung bagi BN, menunjukkan sebarang perpecahan dalam Umno mungkin akan menyebabkan lebih ramai orang Melayu akan menolak gabungan pemerintah.

Melihat arah aliran sokongan orang Melayu, Cina dan India, beliau berkata dengan sokongan Cina dan India kepada BN menurun dalam 2 pilihan raya umum lalu iaitu 2008 dan 2013, kunci kepada sebarang harapan untuk PH menang PRU14 terletak di tangan pengundi Melayu.

“Ayunan terbesar dalam sokongan Melayu terhadap BN berlaku dalam pilihan raya umum ‘Reformasi’ 1999 di mana jumlah undi Melayu untuk BN jatuh sebanyak 27% daripada 81% pada 1995 kepada 54% pada 1999.

“Berikutan itu, pada tahun 2008, undi Melayu kepada BN jatuh dengan margin yang lebih rendah sebanyak 6%,” kata beliau merujuk kepada PRU12 apabila BN kehilangan 2/3 majoriti di Parlimen dan 4 negeri lagi, kehilangan sokongan orang Cina dengan penurunan 40% dan kaum India (42%).

Pada tahun 1998, Datuk Seri Anwar Ibrahim dipecat sebagai timbalan perdana menteri sebelum didakwa berhubung kes meliwat dan penyalahgunaan kuasa. Ramai penyokongnya meninggalkan Umno untuk memulakan PKR bersama isteri beliau Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Bagaimanapun, sebelum pilihan raya 2008, terdapat banyak rasa tidak puas hati dalam Umno berhubung pimpinan mantan perdana menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi, dengan pendahulu beliau Dr Mahathir mengetuai pemberontakan dari dalam.

Dr Mahathir meninggalkan parti itu pada Mei 2008, 2 bulan selepas PRU12 dalam usaha untuk memaksa Abdullah berhenti sebagai perdana menteri berikutan kerugian besar yang dialami dalam pilihan raya umum 2008.

“Pada pilihan raya umum 2013 (PRU13), namun sokongan BN di kalangan orang Melayu meningkat sedikit, sebanyak 5%,” kata Kian Ming.

Sekarang, dengan keputusan Dr Mahathir meninggalkan Umno bersama Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Seri Mukhriz Mahathir dan pemimpin parti yang lain bertanding dengan mereka, dan pembentukan PPBM, Kian Ming berkata kemungkinan tsunami Melayu seperti yang dicadangkan oleh Ahli Parlimen Kluang Liew Chin Tong sangat nyata.

Justeru dalam tulisannya, Salleh menjelaskan, untuk analisis yang lebih tepat perlu melihat senario 1988-1990 kerana situasi itu yang perlu dijadikan sandaran analisis perubahan undi Melayu kerana sejarah perpecahan politik Melayu bermula ketika itu.

“Pada tahun 1988, Umno berpecah setelah Dr. Mahathir dan Tengku Razaleigh bertanding merebut jawatan presiden Umno. Selepas pemilihan itu, kumpulan Tengku Razaleigh keluar Umno dan menubuhkan parti Semangat 46.

“Dalam PRU 1990, S46 bergabung dengan PAS, Hamim, DAP dan PBS, namun adakah pakatan pembangkang memenangi pilihan raya tersebut? Jawapannya tidak.”

Beliau seterusnya berkata, kemerosotan pengundi Melayu hanya 2.4% berbanding PRU 1986 manakala S46 pula hanya memenangi 8 kerusi Parlimen daripada 61 kerusi.

Dalam PRU itu S46 memenangi 19 kerusi daripada 152 kerusi yang ditandingi.

“Situasi tersebut sama seperti hari ini yang mana Umno mengalami perpecahan dengan melahirkan PPBM. Maka, bagaimana dengan PRU14 nanti?” kata Salleh sambil berkata, jika melihat kepada realiti sekarang, sukar untuk berlaku peralihan undi Melayu lagi.

Jelas beliau, dalam PRU 1999, senario berlakunya peralihan undi Melayu ketika itu adalah berbeza dengan situasi sekarang.

“Tahun 1999, negara baharu diserang krisis kewangan dan ada isu mata lebam. PRU14 isu tahun 1999 dan 2008 sudah jauh kita tinggalkan,” kata Salleh.

Salleh juga berkata, analisi beliau sebelum ini telah menggariskan 5 faktor anak muda akan menyokong BN dalam PRU14.

“Dalam analisis ini, jika mahu bersandarkan kepada hujah Umno berpecah maka Melayu akan mengalih sokongan kepada pembangkang, itu adalah generalisasi,” katanya.

Salleh yang turut merujuk kepada keputusan pilihan raya kecil Sungai Besar dan Kuala Kangsar berkata, meskipun Umno berpecah, parti pembangkang masih tidak mampu menumbangkan BN.

“Tambahan pula, parti pembangkang kini mempunyai pecahan parti Melayunya sendiri seperti Amanah yang lahir hasil perpecahannya dengan PAS.

“PPBM dan Amanah juga adalah parti baharu yang masih tidak mendapat sokongan meluas. Politiking pembangkang yang terlalu banyak juga menyebabkan rakyat bosan kerana rakyat mahu terus bergerak ke depan membangun Malaysia yang maju dan sejahtera,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.