
Semalam, Ketua Pengarah Jakim, Tan Sri Othman Mustapha mendakwa Islamic Renaissance Front (IRF) dan kumpulan G25 membawa masuk ke idea-idea liberal yang sesat ke negara ini ekoran pendirian Dr Mun’im Sirry dari University of Notre Dame mengenai al-Quran.
Katanya, individu terbabit difahamkan telah mengeluarkan kenyataan salah dan bercanggah mengenai al-Quran semasa muncul sebagai ahli panel program anjuran IRF dan kumpulan G25 pada 19 Ogos lalu.
“Jakim difahamkan beliau telah berkata yang al-Quran tidak relevan dan al-Quran sebenarnya turun di Mesopotamia.
“Ini 1 kenyataan yang salah dan bercanggah dengan pandangan jumhur ulama. Beliau juga seolah-olah cuba untuk mempromosi tafsiran baharu kepada kebenaran kitab suci al-Quran,” kata beliau.
Umat Islam percaya lebih 6,000 ayat al-Quran diturunkan secara berperingkat kepada Nabi Muhammad semasa di Mekah dan Madinah selama 23 tahun.
Bercakap kepada FMT, Mun’im berkata, beliau hanya merujuk kepada hipotesis seorang sarjana Inggeris, dalam mencabar pandangan meluas bahawa al-Quran diturunkan kepada tamadun Arab “jahiliah”, dengan merujuk kepada wacana teologi yang mendalam mengenai al-Quran.
“Apa yang saya katakan adalah, jika anda melihat teks al-Quran, anda akan ada tanggapan ia tidak didedahkan dalam konteks jahiliah seperti yang pada lazimnya diandaikan.
“al-Quran seolah-olah menganggap khalayaknya akrab dengan naratif alkitabiah dan bahkan polemik teologi antara Yahudi dan Kristian,” kata Mun’im.
Disebabkan perdebatan teologi seperti itu dalam al-Quran, kata beliau, ilmuwan British John Wansbrough mendakwa al-Quran mungkin muncul di Mesopotamia di mana perdebatan teologi seperti itu berlaku pada abad ke-6 atau ke-7.
Mun’im berkata walaupun orang Islam mungkin tidak bersetuju dengan cadangan itu, Wansbrough mengemukakan 1 persoalan penting sama ada Mekah dan Madinah memang “primitif” seperti yang dipercayai ramai.
“Saya sendiri memberitahu saya tidak bersetuju dengan Wansbrough dengan mengatakan, berdasarkan pandangan saya, Mekah dan Madinah tidak terpencil seperti yang ramai menganggap.
“Oleh itu, saya juga mencabar orang-orang yang menghadiri seminar itu supaya memikirkan semula konteks jahiliah al-Quran seperti yang dibentangkan dalam sumber-sumber Islam.
“Saya berhujah sumber-sumber Islam mesti diteliti dengan kritikal,” kata Mun’im yang mengajar teologi.
Mun’im adalah antara penceramah di forum bertajuk “Moderasi Dalam al-Quran: Antara 2 Extremes” pada 19 Ogos lalu. Mufti Perlis Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin menyampaikan ucaptama pada forum itu. Penceramah lain terdiri daripada Pengarah IRF Dr Ahmad Farouk Musa, ahli akademik Indonesia, Abdul Munir Mulkhan dan pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Shamrahayu Abdul Aziz, Ahmad El-Muhammady dan Maszlee Malik.
Sementara itu, Farouk ketika dihubungi FMT mempertikaikan kenyataan Jakim dengan menegaskan ia menunjukkan sesetengah umat Islam gagal memahami kehendak al-Quran agar umat Islam berfikir.
Beliau berkata, Nabi Muhammad juga pernah disebut sebagai sesat apabila membawa idea “asing” mengenai konsep kesatuan Tuhan.
“Jadi adakah kita meniru orang-orang kafir dengan menolak idea-idea baharu yang menimbulkan pemikiran kita?” soal Farouk.
“Apa yang salah dalam mendengar naratif yang berbeza? Adakah Jakim berfikir umat Islam di negara ini sangat bodoh sehingga mereka tidak boleh berfikir sendiri?”
Farouk berkata IRF ditubuhkan untuk menggalakkan wacana intelek dan pemikiran kritikal di kalangan umat Islam.
“Itulah sebabnya garis tag kami adalah ‘Li qaumin yatafakkarun’ – untuk orang yang berfikir,” katanya, memetik ayat dari al-Quran.
“Idea ini adalah mengenai pemikiran dan pemikiran semula. Apa-apa idea yang dikemukakan perlu dibincangkan secara intelek, bukan emosi. Hanya kerana idea itu asing kepada kita, kita dengan cepat melabel sebagai sesat.”