
Sin Chew Daily memetik wanita bernama Chua yang menceritakan kejadian itu di Facebook sebuah kumpulan ibu menyusu pada 18 Ogos lalu berkata, kakitangan lelaki di kaunter resepsi hotel itu menolak permintaannya walaupun selepas beliau menjelaskan susu ibu itu dihasilkan manusia.
“Saya tidak berputus asa dan cuba mendapatkan bantuan kakitangan lain untuk membekukan susu, tetapi hasilnya masih sama. Alasannya susu ibu tidak halal.
“Ketika itu, saya ada memberi penjelasan dan menerapkan pengetahuan mengenai susu ibu, tetapi tidak berjaya memujuk mereka.
“Susu ibu dihasilkan manusia, bukannya haiwan. Takkanlah pelanggan mereka juga perlu dibahagikan kepada halal dan tidak halal?” soalnya menerusi catatan itu sambil menambah beliau terpaksa membuang susu badannya dalam kejadian kira-kira 9 malam itu.
Chua berkata, keadaan sebaliknya berlaku pada keesokan apabila beliau menghantar susu badannya ke bilik VIP yang beroperasi pada waktu siang, di mana kakitangan wanita membantu beliau membekukannya.
Selang beberapa hari, beliau melalui satu lagi catatan di Facebook memaklumkan hotel itu sudah meminta maaf kepadanya, selepas rakannya membuat aduan kepada pihak pengurusan.
Katanya, hotel itu turut memaklumkan mereka ada menawarkan perkhidmatan membekukan susu ibu kepada pelanggan, termasuk pada waktu malam tanpa membezakan ia halal atau tidak.
Chua berkata, hotel itu menjelaskan petugas lelaki di kaunter resepsi menolak permintaannya kerana tiada pengetahuan mengenai susu ibu dan tidak biasa dengan cara menguruskannya.
“Mengimbau keadian itu, sebenarnya ia hanya kesilapan yang tidak disengajakan oleh segelintir kakitangan (lelaki) kerana mereka tiada pengetahuan mengenai susu ibu.”
Beliau berharap orang ramai tidak akan menyalahkan hotel itu dan meminta pihak pengurusan tidak mengambil tindakan terhadap kakitangan terbabit, sebaliknya memberi pengetahuan mengenai susu ibu kepada mereka.
Katanya, hotel itu tidak memberi sebarang pampasan kepadanya dan beliau tidak mahu memperbesarkan kesilapan orang lain.