SPRM: Siasatan hotel London tidak dapat disiapkan dalam masa terdekat

SPRM: Siasatan hotel London tidak dapat disiapkan dalam masa terdekat

Keperluan mendapatkan keterangan saksi luar negara menyebabkan siasatan kes pembelian hotel di London tidak dapat diselesaikan dalam waktu terdekat.

azam-fic
PUTRAJAYA:
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam proses mendapatkan keterangan daripada saksi luar negara berhubung siasatan kes pembelian hotel oleh Felda Investment Corporation (FIC) di Kensington, London, kata Datuk Azam Baki.

Timbalan ketua pesuruhjaya (operasi) SPRM berkata keperluan mendapatkan keterangan saksi luar negara terdiri daripada warga Malaysia dan warga asing menyebabkan siasatan kes pembelian hotel itu tidak dapat disiapkan dalam waktu terdekat.

“SPRM perlu pergi sana (London). Ini melibatkan bantuan bersama. SPRM tidak boleh terus saja pergi ke negara lain untuk menyiasat. Jadi kami perlu memohon melalui peguam negara dan kita akan berhubung dengan peguam negara mereka (United Kingdom),” katanya kepada pemberita selepas majlis menaikkan bendera sempena perpindahan operasi SPRM di bangunan baharu di Presint 7, Putrajaya.

Mengenai siasatan kes pembelian hotel di Kuching, Azam berkata siasatan tersebut dijangka siap dalam waktu terdekat sebelum diserahkan kepada timbalan pendakwa raya yang berhak menentukan sama ada kes itu akan didakwa atau sebaliknya.

FIC ialah anak syarikat Felda yang terlibat dalam aktiviti perniagaan bukan perladangan.

SPRM dilaporkan membuka kertas siasatan berhubung pembelian sebuah hotel di Kensington, London antara tahun 2013 dan 2015 oleh FIC, dipercayai harga dibayar jauh lebih tinggi berbanding harga asal hingga menyebabkan anak syarikat Felda rugi jutaan ringgit.

FIC dilaporkan membeli sebuah hotel 4 bintang di Kensington, London pada harga £60 juta (RM330 juta) pada 16 Disember 2014.

SPRM juga dilaporkan sudah memulakan siasatan ke atas pembelian hotel di Kuching, Sarawak susulan maklumat diterima oleh pasukan penyiasat ketika menjalankan siasatan terhadap pembelian hotel di London oleh FIC sebelum ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.