
Dr Kamarul Zaman Yusoff dari Universiti Utara Malaysia (UUM) memberitahu FMT, kehadiran PAS dan PPBM di negeri itu memberi saingan kepada Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN).
Beliau berkata, setiap parti perlu memujuk PAS bekerjasama dengan mereka, tetapi BN berdepan cabaran tambahan dalam memastikan tidak terlalu ramai ahli Umno melompat ke PPBM.
Bagaimanapun, katanya, PH mungkin tidak dapat memanfaatkan keahlian PPBM dalam gabungan itu kerana kekurangan pemimpin boleh dipercayai di Selangor.
Kamarul mempunyai lebih banyak nasihat untuk BN berbanding PH, walaupun kedua-dua gabungan itu perlu bersaing untuk mendapat sokongan pengundi bukan Melayu.
Beliau berkata, Umno perlu mengawal kumpulan Baju Merah pimpinan Datuk Jamal Yunos bagi mengelakkan ia menakutkan pengundi.
Beliau turut menyentuh “saingan berterusan dalam BN Selangor, terutamanya dalam kalangan pemimpin Umno” dengan berkata, keadaan itu boleh merosakkan peluang BN merampas semula negeri itu, walaupun wujud perbalahan dalam PH.
Kamarul menasihatkan Umno mengelakkan pemilihan calon yang mempunyai masalah imej, seperti bekas menteri besar, Dr Mohamad Khir Toyo, khasnya untuk calon menteri besar.
“Kelulusan akademik yang baik dan latar belakang profesional akan membantu. Tetapi, hubungan baik dengan rakyat, istana dan pemimpin bahagian Umno adalah wajib.
“Bagaimanapun, calon bidan terjun tidak akan berjaya. Calon itu perlu pernah memenangi kerusi pada PRU13.”
Umno biasanya akan memilih pengerusi negeri sebagai calon menteri besar, tetapi Kamarul mencadangkan Pengerusi Umno Selangor, Tan Sri Noh Omar memberi laluan kepada muka baru.
Katanya, Noh tidak memenuhi kriteria itu kerana menerajui Umno Selangor untuk tempoh panjang dan mungkin mempunyai masalah imej.
Beliau berkata, salah seorang calon berpotensi ialah timbalan Noh yang juga Adun Batang Kali, Datuk Mat Nadzari Ahmad Dahlan yang mengalahkan calon PKR, Ramachandran Kandasmy dengan majoriti 5,398 undi pada PRU13.
“Beliau mempunyai latar belakang agak bagus, pernah menjadi pengurus bank dan tidak dipalit kontroversi.”
Seorang lagi calon, katanya ialah Datuk Irmohizam Ibrahim yang merampas kerusi Parlimen Kuala Selangor daripada Dr Drzulkefly Ahmad yang kemudiannya menyertai Amanah.
“Irmohizam berpendidikan dan baru mendapat PhD, disukai ramai dan mempunyai hubungan baik dengan presiden Umno. Dahulu, beliau aktif dalam organisasi belia dan sukarelawan.”
Seorang lagi calon sesuai ialah Budiman Mohd Zohdi, adun Sungai Panjang dan ahli Parlimen Sungai Besar.
“Beliau nampak berpendidikan dan diterima baik rakyat. Masalahnya, Budiman bukan ketua bahagian Umno.”
Tetapi, Kamarul menjangkakan Noh mungkin memilih calon lebih rapat dengannya, iaitu Adun Semenyih, Datuk Johan Abdul Aziz.
Johan ialah setiausaha Umno Selangor dan pegawai khas Noh di Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan yang kelihatan tidak terbabit dalam sebarang kontroversi.
Baru-baru ini, Khir Toyo dilaporkan sebagai berkata, BN perly memuktamadkan senarai calon berpotensi untuk jawatan menteri besar Selangor, jika mereka serius mahu merampas semula negeri terkaya di Malaysia.
Katanya, wujud persepsi umum BN kekurangan pemimpin berkaliber di negeri itu.
Khir dibebaskan dari penjara tahun lepas, selepas sabit kesalahan rasuah.