Perasaan selamat yang palsu membisukan rakyat, kata ahli sosiologi

Perasaan selamat yang palsu membisukan rakyat, kata ahli sosiologi

Ramai percaya keadaan mereka tidak seburuk keadaan rakyat di negara Asia Tenggara lain kerana tiada kacau-bilau dan tempat membeli-belah masih dipenuhi orang.

Prof-Syed-Farid-Alatas
KUALA LUMPUR:
Kebanyakan rakyat hidup dalam “perasaan selamat yang palsu” dan tidak merasa perlu bersuara terhadap tadbir urus yang lemah dan sikap tidak bertoleransi terhadap agama di negara ini, kata seorang ahli sosiologi.

Prof Syed Farid Alatas dari Universiti Kebangsaan Singapura berkata ramai rakyat Malaysia percaya keadaan mereka tidak seburuk keadaan rakyat di negara Asia Tenggara lain.

“Mereka rasa keadaan kita tidak terlalu teruk kerana tiada kacau-bilau dan tempat membeli-belah masih dipenuhi orang.

“Mereka rasa tiada guna bersuara terhadap tadir urus yang lemah. Mereka rasa kerajaan terlalu kuat,” katanya di forum Islam, Sekularisme dan Nihilisme.

Syed Farid, anak kepada bekas naib canselor Universiti Malaya Syed Hussein Alatas berkata, rakyat mesti bersuara kerana negara sedang bergerak menuju konservatisme agama, rasisme dan xenofobia berbanding sedekad lalu.

Beliau berkata Malaysia mempunyai sistem demokrasi yang baik dan negara akan unggul tanpa rasuah dan perkauman.

“Seperti banyak negara lain serata dunia, ahli politik berasa mereka berhak atas segalanya kerana mereka berkuasa,” katanya.

Meskipun begitu, rakyat tidak membantah pemikiran sebegitu.

“Rakyat Malaysia patut marah. Terdapat penganiayaan orang Islam Syiah termasuk Melayu Syiah. Tetapi majoriti rakyat berdiam diri.”

Perkara sama berlaku apabila penunjuk perasaan memaksa sebuah gereja di Taman Medan, Petaling Jaya membuang tanda salib yang tergantung di muka bangunan.

“Kita tidak mengendahkan isu itu. Mereka berseronok dengan apa yang dipanggil sebagai Islamisasi,” kata Syed Farid.

Beliau menggesa rakyat memperjuangkan kesamaan untuk semua orang dan berdekat mengenai isu yang melanda kehidupan harian, seperti isu berkaitan kerja dan buruh.

“Kita perlu berfikir menjangkaui kaum dan agama bagi menyatukan semua rakyat dan berjuang untuk tadbir urus yang baik. Kita harus pastikan tadbir urus yang lemah tidak berlarutan sehingga generasi seterusnya,” katanya.

Beliau berkata jika rakyat tidak bersuara, lebih ramai warga Malaysia, terutamanya Melayu, akan berpindah kerana mahu melarikan diri dari rasisme dan sikap tidak bertoleransi terhadap agama.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.