
Ia selepas kerajaan mengeluarkan permintaan untuk cadangan (RFP) bagi memilih pemaju induk projek itu, Jun lalu.
“Kami membawa mereka melawat tapak dan mereka perlu menghantar cadangan mereka menjelang akhir bulan ini,” katanya selepas pelancaran program “Sukarelawan untuk Profesional Antarabangsa” hari ini.
Bagaimanapun, Irwan berkata, daripada jumlah itu, kerajaan tidak tahu berapa syarikat yang akan menyerahkan cadangan mereka berdasarkan RFP untuk projek itu.
Kementerian Kewangan menerusi kenyataan pada 22 Jun lalu berkata, ia sudah mengeluarkan RFP untuk memilih pemaju induk bagi membangunkan projek yang terpalit kontroversi itu
Kementerian Kewangan berkata, antara kriteria yang perlu dipenuhi syarikat dan/atau konsortium yang berminat itu ialah mereka perlu merupakan sekutu kepada syarikat Fortune 500 bagi memastikan kekuatan kewangan, sekutu syarikat yang menjana perolehan secara kumulatifnya, dalam tempoh 3 tahun lepas, tidak kurang daripada RM50 bilion daripada keseluruhan rantaian nilai perniagaan hartanah dan berkaitan serta pengalaman dalam projek pembangunan hartanah berkualiti antarabangsa.
Ia susulan perjanjian jualan saham dalam Bandar Malaysia kepada konsortium Iskandar Waterfront Holdings (IWH) dan China Railway Engineering Corp (CREC), sudah luput.
Pada 3 Mei lalu, TRX City Sdn Bhd mengumumkan perjanjian jualan saham yang dimeterai dengan IWH-CREC pada 2015 membabitkan penjualan 60% daripada modal terbitan dan berbayar Bandar Malaysia luput dan terbatal kerana “gagal memenuhi obligasi pembayaran”.
Irwan yang juga pengerusi TRX City Sdn Bhd dan Bandar Malaysia Sdn Bhd, bagaimanapun tidak memaklumkan sama ada IWH, CREC atau kedua-duanya antara 6 syarikat yang berminat dalam projek Bandar Malaysia.
Syarikat yang berjaya akan memperoleh 60% saham dalam projek itu, manakala baki 40% kepentingan dimilik kerajaan Malaysia melalui dana 1MDB.
Bandar Malaysia adalah projek pembangunan seluas 197 hektar, yang akan dimajukan di lapangan terbang lama Pangkalan Udara Kuala Lumpur di Sungai Besi.
Kerajaan sebelum ini berkata, projek yang dijangka mengambil masa 15 hingga 25 tahun itu akan membuka 220,000 peluang pekerjaan.
Pembangunan fasa pertama Bandar Malaysia yang sepatutnya dimulakan tahun ini akan mengambil masa 5 hingga 10 tahun.
Ia merangkumi kira-kira 40 hektar membabitkan pembangunan 5,000 unit rumah mampu milik serta kemudahan sistem rel Transit Aliran Ringan (LRT) dan Mass Rapid Transit (MRT), di samping menempatkan stesen utama Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura.