
Peguam RSN Rayer berkata kad pengenalan anak guamnya diambil ketika Phee pergi ke pejabat SPRM untuk diambil keterangan.
“Semasa soal siasat itu Phee ditahan atas arahan.
“Itu kali terakhir beliau melihat kad pengenalannya. Sejak itu kami minta kad pengenalannya dipulangkan selepas remannya diisytiharkan tidak sah.
“Tetapi sehingga sekarang, SPRM belum membalas panggilan kami. Saya ingin ingatkan mereka, salah di sisi undang-undang jika seseorang itu bergerak tanpa kad pengenalan. Beliau boleh didenda RM2,000,” kata Rayer pada sidang akhbar di Komtar hari ini.
Pada 11 Ogos, SPRM menahan Adun Sungai Puyu itu, bersama 2 lelaki lain.
Dua lelaki yang turut terlibat dalam kes itu ialah seorang bapa berusia 70 tahun dan anaknya berusia 37 tahun yang merupakan pemilik kilang penapis karbon yang dikatakan beroperasi secara haram lebih dari 10 tahun.
Ketiga-tiga mereka direman selama 5 hari tetapi perintah itu dibatalkan oleh Mahkamah Tinggi yang mengisytiharkan ia tidak sah.
Phee, 66, disiasat kerana didakwa menggunakan kuasa atau kedudukannya atas tuduhan rasuah di bawah Seksyen 23 Akta SPRM 2009.
Kilang itu yang disiasat di bawah SPRM menggunakan kaedah konvensional untuk membakar habuk papan bagi membuat karbon yang diaktifkan, satu produk yang digunakan secara meluas dalam alat pembersih udara, penapis air dan penghawa dingin.
Pihak berkuasa memulakan siasatan rasuah terhadap kilang itu selepas kilang seluas 5,000 meter persegi yang terletak di Kampung Sungai Lembu, Bukit Mertajam, didedahkan tidak mempunyai sistem kawalan pengeluaran asap yang sepatutnya.
Kilang itu terletak di atas tanah berbukit di ladang kelapa sawit, dan kira-kira 1km dari kawasan perumahan yang terdekat. Kilang disita Jabatan Alam Sekitar (JAS).
Laporan mengatakan penduduk setempat mengadu tentang pencemaran udara yang berterusan, yang menyebabkan mereka jatuh sakit, sejak 10 tahun lalu.
Kerajaan Pulau Pinang berkata ia menyedari kilang itu beroperasi secara haram, namun bercadang untuk membantu memutihkan kilang itu kerana ia dibina sebelum 2008 apabila kerajaan negeri berada di bawah Barisan Nasional.